Buletin
Izzue Islam diberi watak utama dalam "XX-Ray 3"


Tarikh disiarkan: 27 November 2015


Selain berlakon dan menyanyi, Izzue juga mempunyai perniagaan pakaiannya sendiri.

27 Nov – Pelakon dan penyanyi Izzue Islam teruja apabila diberi peluang untuk menerajui filem "XX-Ray 3" arahan pengarah Aziz M. Osman.

"Saya memegang watak sebagai Rayyan dalam filem "XX-Ray 3" yang ditugaskan oleh Profesor Ammir untuk menyelesaikan misi.

"Seperti yang kita semua tahu, filem ini sebuah filem sains fiksyen yang menjadi fenomena suatu ketika dahulu. Oleh itu saya teruja untuk terbabit dalam filem ini," ujarnya yang dipetik dari Era.fm.

Tambah pelakon "29 Februari" ini lagi, ini merupakan kali pertama dia berlakon dalam filem bergenre sains fiksyen.

Selain itu, Izzue turut berkata dia mendapat satu pengalaman baru apabila bekerja di bawah arahan Aziz M. Osman kerana pengarah seorang yang sangat terbuka dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Dalam perkembangan lain, selain berlakon dan menyanyi Izzue juga mempunyai perniagaan jenama pakaiannya sendiri yang diberi nama izzuexclussive yang mana kini semakin berkembang.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
29 Februari (Melayu) (30 Ogos 2012)
Mat Tudung (Melayu) (28 Julai 2014)
Sunti @ Facebook (Melayu) (26 Februari 2015)