Buletin
"Langit Cinta" berdasarkan kisah sebenar


Tarikh disiarkan: 27 November 2015


Osman Ali kembali dengan filem romantik berjudul "Langit Cinta".

27 Nov – Pengarah filem Osman Ali bakal muncul dengan filem terbaru arahannya berjudul "Langit Cinta" yang akan menemui penonton pada 7 Januari tahun hadapan.

Ia dibintangi oleh pelakon hebat seperti Nur Fazura, Keith Foo, Farid Kamil, Siti Saleha, Normah Damanhuri, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Namun, disebalik semua itu apa yang menariknya mengenai filem terbitan Astro Shaw ini adalah ia sebuah naskhah dari kisah sebenar percintaan ibu bapa pengarahnya Osman Ali.

"Saya dapat inspirasi "Langit Cinta" daripada kisah sebenar bibit pertemuan dan percintaan ibu bapa saya. Ibu saya tinggal di sebuah pulau di selatan Thailand dan di situ ayah saya bertemu dengan ibu saya," katanya kepada Malaysian Digest.

Osman Ali yang digelar sebagai pengarah air mata ini memberitahu bahawa untuk filem terbarunya ini, dia akan memberi tumpuan pada sinematografi.

Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis desa bernama Khadeja dalam penantian cinta sejati. Dia bertemu dengan Aliff, pemuda dari keluarga berada. Namun cinta suci mereka ditentang oleh keluarga Aliff lalu memisahkan ikatan kasih sayang mereka.

Dalam pada itu, Osman Ali berkata filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini menjalani penggambaran di Pulau Langkawi berdepan situasi sukar ketika penggambaran berikutan cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan penggambaran terpaksa ditangguhkan beberapa kali.

Demi memastikan jadual penggambaran tidak terjejas, mereka terpaksa meneruskan penggambaran sebaik saja keadaan cuaca kembali baik.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Langit Cinta (Melayu) (7 Januari 2016)
Ombak Rindu (Melayu) (1 Disember 2011)
Sinaran (Melayu) (26 November 2015)