Buletin
Osman Ali harap "Langit Cinta" mampu cetus fenomena


Tarikh disiarkan: 25 Disember 2015


Osman Ali berbangga dapat bekerjasama dengan barisan pelakon-pelakon tersohor tanah air.

25 Dis – Pengarah yang digelar 'pengarah air mata' Osman Ali kembali mempertaruh karya terbaru arahannya berjudul "Langit Cinta" iaitu sebuah filem drama romantik.

Menurut Osman Ali, selepas kejayaan filem arahannya sebelum ini, "Ombak Rindu" yang mencetuskan fenomena, dia berdepan cabaran yang sukar untuk mengarah filem terbaru ini kerana penonton mempunyai jangkaan tinggi untuk filem terbaru ini.

Selain itu, pengarah turut memberitahu dia terpaksa menjaga setiap emosi pelakon supaya selari dan hanya akan berpuas hati dengan lakonan pelakon jika babak tersebut berjaya membuatkan dirinya menangis.

"Ia sebuah filem yang penuh dengan melodramanya, oleh itu bagi memastikan setiap babak betul-betul berjaya saya juga akan menangis.

"Ini kerana jika saya tidak dapat merasai sendiri keperitan atau kesedihan yang dilalui oleh watak yang dilakonkan, saya yakin ia juga tidak akan sampai kepada penonton yang menonton," katanya yang ditemui selepas majlis pratonton "Langit Cinta" di Cathay Cineplex, eCurve, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Osman turut berkata dia berasa amat berbesar hati apabila karya terbarunya ini dibintangi oleh ramai pelakon lama dan baru yang mana kesemuanya memberi komitmen tinggi.

Malah, Osman turut memuji lakonan daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud dan Dian P Ramlee ketika babak menangis tampak begitu asli sekali.

"Langit Cinta" yang dibintangi oleh Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Normah Damanhuri dan ramai lagi ini akan menemui penonton pada 7 Januari 2016.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Langit Cinta (Melayu) (7 Januari 2016)
Ombak Rindu (Melayu) (1 Disember 2011)
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)