Buletin
Pekin Ibrahim: "Mat Moto" tak diciplak dari mana-mana filem


Tarikh disiarkan: 4 Disember 2015


Pekin Ibrahim teruja menanti respons daripada penonton terhadap filem sulung arahannya.

4 Dis – Pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim menegaskan bahawa filem pertama arahannya berjudul "Mat Moto" tidak diciplak dari mana-mana filem lain termasuk filem pengarah terkenal Ahmad Idham yang turut menggunakan judul sama.

"Saya tidak meniru judul mana-mana filem. Ketika saya mendaftar di FINAS untuk memulakan penggambaran filem ini dahulu, mereka memberitahu tiada lagi judul serupa telah didaftarkan.

"Bagaimanapun, selepas beberapa bulan timbul isu mengatakan ada dua filem menggunakan tajuk serupa. Memang pelik," katanya yang dipetik dari Utusan Online.

Pelakon "Juvana 2" ini mengakui berasa terkilan apabila ada filem yang menggunakan judul sama dengan filemnya, namun dia tetap dengan pendirian untuk mengekalkan judul tersebut dan menambah slogan "Mat Moto- Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit", sekaligus dapat membezakan antara kedua-dua filem itu.

Pada masa sama Pekin percaya filemnya mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia dihasilkan olehnya sendiri berdasarkan pengalaman peribadi, jadi dia yakin mampu menarik minat penonton untuk menonton filemnya di pawagam.

Filem arahan bersama Pekin dan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Datuk Rosyam Nor, Falisha Crossley, Zul Huzaimy dan ramai lagi.

"Mat Moto" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 14 Januari 2016.

(Sumber foto: Sinar Harian)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide