Buletin
Pekin Ibrahim banyak belajar dari Syafiq Yusof


Tarikh disiarkan: 18 September 2015


Pekin Ibrahim enggan memanjangkan kontroversinya dengan Ahmad Idham.

18 Sep – Pelakon popular Pekin Ibrahim yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia pengarahan memberitahu bahawa dia banyak mendapat tunjuk ajar dari pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof dalam mengarah bersama dalam filem terbaru "Mat Motor".

"Walaupun dia seorang pengarah muda, tetapi pengalamannya dalam pengarahan filem memang terbaik. Banyak benda yang saya belajar dengan sumbangan idea bernasnya," katanya kepada Utusan Online.

Menurut Pekin, penggambaran filem telah berlangsung selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka, bakal siap untuk tayangan yang dijadualkan pada Januari atau Februari tahun hadapan.

"Mat Motor" menelan belanja kira-kira RM1 juta.

Dalam pada itu, Pekin turut menjelaskan bahawa dia tidak lagi mahu memanjangkan perselisihan faham di antaranya dengan penerbit dan pengarah terkenal Ahmad Idham kerana filem tersebut sudah pun selesai penggambaran.

Tambah Pekin lagi, skrip filem tersebut adalah idea asalnya sejak tiga tahun lalu, dan apabila Ahmad Idham tidak memberi maklum balas mengenai kerjasama tersebut dia terpaksa meneruskan juga kerana tidak mahu naskhah itu basi.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia bakal melanjutkan pengajiannya dalam bidang pengurusan kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan bermula pada Oktober ini.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide