Buletin
Sam yakin "Polis Evo" mampu atasi kutipan "The Journey"


Tarikh disiarkan: 30 September 2015


Shaheizy Sam di majlis pratonton filem "Rembat".

30 Sep – Filem aksi "Polis Evo" kini merupakan filem pecah panggung untuk tahun 2015 apabila berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8 juta sejak ia ditayangkan pada 17 September lalu, dan teraju utama Shaheizy Sam yakin "Polis Evo" mampu mengatasi rekod kutipan filem "The Journey".

Filem yang turut dibintangi Zizan Razak mendapat respon positif daripada penonton tempatan dan juga pengkritik filem, dan ini membuatkan Sam gembira kerana masih ramai orang menyokong filem tempatan.

Pelakon berusia 33 tahun itu juga yakin mengatasi kutipan filem "The Journey" yang sehingga kini merupakan filem dengan kutipan paling tertinggi di Malaysia dengan RM17.6 juta.

"Melihat dengan kutipan "Polis Evo" sekarang ini, saya rasa kami dapat mengatasi kutipan "The Journey".

"The Journey" adalah filem terbitan Astro Shaw, sama dengan "Polis Evo". Jadi apa yang diberitahu adalah filem itu tidak mendapat kutipan memberangsangkan ketika minggu pertama, dan hanya mula mendapat kutipan tinggi selepas minggu kedua.

"Tetapi berlainan dengan "Polis Evo" yang mendapat sambutan hangat ketika hari pertama ia ditayangkan sehingga tiket habis dijual. Jadi saya percaya ia mampu menewaskan "The Journey", katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Rembat".

Dalam pada itu, Sam turut memberitahu bahawa dia tidak meminta sebarang ganjaran atau bonus selepas filem lakonannya itu mencetuskan fenomena kerana baginya ia terpulang kepada pihak produksi untuk memberi atau tidak.

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, "Polis Evo" mengisahkan tentang dua anggota polis Inspektor Sani dan Inspektor Khai yang mempunyai dua personaliti berbeza, tetapi terpaksa bekerjasama bagi menumpaskan oraganisasi pengedaran dadah.

Penulis: Erny Suzira

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click here

Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)
Rembat (Melayu) (8 Oktober 2015)





Ticket Pricing Guide