Buletin
Syamsul Yusof: Saya tak ciplak novel "Aku Bohsia"


Tarikh disiarkan: 22 Oktober 2015


Syamsul Yusof berang apabila hasil titik peluhnya didakwa diciplak.

22 Okt – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof menyangkal dakwaan penulis novel "Aku Bohsia" (1995), Elias Idris yang menuduh filem arahannya "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" (2009) diciplak dari novel tersebut.

Syamsul berkata demikian di Mahkamah Tinggi pada Selasa, malah turut menjelaskan bahawa idea asal dan skrip filem itu dihasilkan mengikut isu semasa.

"Idea diperoleh dari kisah yang pernah dipaparkan di media dan digabungkan dengan imaginasi kreatif saya sebagai penulis skrip, juga diambil dari kisah 'typical' remaja kota," katanya yang dipetik dari Bernama.

Elias selaku plaintif telah menamakan Syamsul Yusof sebagai defendan pertama, manakala Datuk Yusof Haslam yang merupakan penerbit filem berkenaan sebagai defendan kedua dan Skop Production Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.

Syamsul yang diwakili peguam Aizul Rohan Anuar berkata dia marah apabila usaha kerasnya dan bapanya dipermainkan apabila plaintif dengan sewenang-wenangnya mendakwa filem mereka diciplak dari novelnya sedangkan mereka tidak pernah mendengar, membaca atau memiliki ketika pembikinan filem itu.

Terdahulu, Elias menerusi laman blognya telah menyatakan terdapat 85 peratus persamaan cerita novelnya dengan filem tersebut dan telah memfailkan pada 24 November tahun lalu.

Dalam saman tersebut, Elias menuntut satu deklarasi kesemua defendan telah melanggar hak cipta terpelihara plaintif sebagai penulis asal, memohon injuksi untuk melarang defendan menyiarkan semula filem itu dan satu perintah ganti rugi serta faedah.

Hakim Datin Azizah Nawawi kemudian menetapkan tarikh 3 Disember depan untuk mendengar hujahan lisan.

(Sumber foto: metrowealth)

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click here.






Ticket Pricing Guide