Buletin
Umie Aida bawa watak bomoh dari "Dukun" ke "Jwanita"


Tarikh disiarkan: 10 September 2015

 


Umie Aida percaya pada karya Osman Ali.

10 Sep – Pelakon terkenal Datin Umie Aida yang memegang watak sebagai bomoh dalam filem terbarunya "Jwanita", mengakui membawa karakter yang dibawanya dalam filem "Dukun" ke dalam filem terbarunya ini.

"Saya ambil lima peratus karakter yang pernah saya bawa dalam "Dukun" ke dalam filem "Jwanita", sekaligus hilanglah sedikit rasa ralat saya apabila filem lakonan saya "Dukun" tidak ditayangkan sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton "Jwanita" di GSC Nu Sentral, KL Sentral, semalam.

Terdahulu, filem "Dukun" arahan Dain Said pada tahun 2007 yang diadaptasi daripada kes jenayah berprofil tinggi yang melibatkan Mona Fandey yang mengamalkan ilmu hitam dan Allahyarham Datuk Mazlan Idris telah diharamkan dari tayangan kerana dikatakan melanggar sensitiviti dan menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.


Umie Aida kecewa dengan drama televisyen kini yang dilihat seperti ketandusan idea.

Pada masa sama pelakon berusia 42 tahun itu berkata dia sememangnya senang bekerja bersama pengarah Osman Ali kerana diberi kebebasan untuknya menerokai karakternya dengan lebih besar.

Dalam pada itu, Umie meluahkan rasa kecewanya terhadap drama-drama ketika ini yang dilihat seperti hanya mengitar semula cerita yang sama.

"Maaf saya cakap ini, saya berasa sungguh kecewa dengan drama-drama di televisyen ketika ini kerana jalan cerita sama, cuma pelakon sahaja berbeza."

Menurut Umie, sebagai seorang pelakon apabila diberi kepercayaan oleh penerbit atau pengarah untuk menjayakan sesuatu watak pelakon perlu memberi lakonan yang mampu meninggalkan impak kepada penonton.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)