Aeril Zafrel bakal muncul dengan filem sulung arahannya | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Aeril Zafrel bakal muncul dengan filem sulung arahannya

Penulis: Ashraf Nasser


Aeril Zafrel bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "KL Vampires".

15 Sep – Pelakon Aeril Zafrel bakal muncul dengan filem thriller pertama yang diarahkan olehnya yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, berkata penggambaran filem tersebut sudah pun dibuat dua tahun lalu, namun berdepan dengan beberapa masalah termasuk pertukaran produksi yang menyebabkan proses menyiapkan filem tergendala seketika.

Filem tersebut dibintangi pelakon hebat seperti Hasnul Rahmat, Reen Rahim dan dirinya sendiri. "Dalam filem ini tidak ramai pelakon ditampilkan kerana saya mahu memberi fokus kepada setiap karakter yang ada. Apa yang saya boleh katakan adalah filem ini apabila orang tonton, orang tidak akan menyangka dia akan mengarah dan berlakon dalam filem seperti itu," ujarnya.

Pada masa sama Aeril berkata dia enggan terlalu menghebahkan mengenai filemnya ini kerana masih di peringkat pembikinan dan jika semuanya sudah lengkap dan berjalan lancar, baru dia akan membuat satu pengumuman rasmi.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filem terbaru lakonannya, "KL Vampires", dia memegang watak sebagai Indra, iaitu pontianak baik yang merupakan sahabat kepada watak yang dibawa oleh Josiah Hogan.

Menurut Aeril, dalam filem ini banyak menuntutnya melakukan babak aksi dan boleh dikatakan kesemua babak aksi akan dilakukannya sendiri kecuali babak yang memerlukan dia tergantung.

"Babak aksi memang saya akan buat sendiri, tetapi babak yang perlu menggunakan tali ini saya bagi pelakon lagak ngeri yang buat kerana saya gayat dengan ketinggian."

Tambah pelakon berusia 28 tahun itu lagi, dia tidak mahu mengambil risiko melakukan babak tersebut kerana bimbang ia akan mendatangkan masalah kepada dirinya dan juga produksi.

Selain Aeril dan Josiah, filem arahan Devan R ini menampilkan barisan pelakon kolaborasi Malaysia-Indonesia iaitu Pablo Amirul, Reen Rahim, Donny Alamsyah, Cecep Arif Rahman dan ramai lagi.

Cinema Online, 15 Sept 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan