Buletin
Amerul Affendi tak ralat babak 'panas' dalam "Pekak" dipotong


Tarikh disiarkan: 26 Ogos 2016


Amerul Affendi mahu bawa watak lelaki budiman pula selepas ini.

26 Ogos – Pelakon Amerul Affendi berkata dia tidak berasa ralat apabila babak rogol dalam filem terbarunya, "Pekak", dengan Sharifah Amani terpaksa dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) berikutan dikatakan agak keterlaluan.

"Saya akui penggambaran untuk babak rogol itu berlangsung sangat lama, tetapi sejujurnya saya tidak berasa ralat kerana apabila saya tonton semula ia tidak sedikit pun menjejaskan babak tersebut dan saya percaya apa yang ingin dipaparkan dalam babak tersebut sampai kepada penonton," katanya yang ditemui pada tayangan perdana "Pekak" di mm2 Cineplex eCurve, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai Azman Picaso, Amerul berkata wataknya adalah seorang remaja yang tidak mempunyai ibu bapa dan berikutan itu dia terpesong jauh dan melakukan pelbagai perkara-perkara tidak baik.

Ditanya bagaimana dia mengambil rujukan untuk membawa watak Azman Picaso dan melakukan babak menghisap dadah, Amerul berkata dia banyak mengambil rujukan dari laman web.

Malah, Amerul bersetuju dengan tindakan pengarah, Khairul Azri untuk memaparkan rupa sebenar dan bagaimana orang menghisap dadah kerana ia mampu mendidik ibu bapa dan remaja di luar sana supaya dapat mengelak dari terjebak dengan najis dadah itu.

"Saya rasa perlu kerana ramai yang tidak tahu bagaimana rupa atau cara menghisap dadah itu sendiri dan ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap kelakuan anak-anak mereka."

"Manakala bagi remaja pula, mereka dapat mengelak dari terjebak dengan najis dadah sekiranya mereka tahu bagaimana rupa sebenar dadah itu kerana kebanyakkan remaja yang terlibat dengan dadah selalunya terpengaruh dengan rakan dan tidak tahu apa-apa mengenai dadah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya samada dirinya akan mengambil apa sahaja tawaran berlakon tidak kira bagus atau tidak, Amerul berkata dia akan meneliti terlebih dahulu setiap naskhah yang diterimanya dan sekiranya dirasakan kandungan atau watak yang ditawarkan berbaloi, baru dia akan menerimanya.

Amerul pada masa sama turut menyuarakan hasratnya untuk membawa watak CEO (watak lelaki budiman) pula selepas ini berikutan sebelum ini dia banyak membawa watak-watak lebih ke arah jahat atau orang kampung sahaja.

Selain Amerul, filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures turut dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sharifah Sakinah, Sharifah Amani dan ramai lagi.

"Pekak" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 1 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)
Terbaik Dari Langit (Melayu) (25 Disember 2014)
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)





Ticket Pricing Guide