Buletin
Saiful Apek bersyukur diberi peluang bawa pelbagai watak


Tarikh disiarkan: 23 Ogos 2016


Saiful Apek rancang adakan showcase 'Reunion Senario" tahun ini.

23 Ogos – Pelakon dan pelawak Saiful Apek mengakui berasa bersyukur apabila dia kini diberi ruang dan peluang untuk membawa pelbagai watak, sekaligus membuktikan dirinya bukan seorang pelakon komedi sahaja.

Terbaru, Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "KL Vampire" arahan Devan R yang merupakan sebuah filem bukan bergenre komedi.

"Saya gembira kerana kini banyak tawaran watak berbeza dan anggap ia benda baru sebab orang sedari dulu kenal saya untuk watak komedi. Dulu selalunya saya dah tahu untuk penyeri atau perosak majlis sahaja," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah artis berusia 47 tahun itu lagi, ia adalah satu perkembangan yang bagus untuk dirinya memandangkan usianya semakin meningkat.

Dalam pada itu, Saiful juga berkata industri perfileman tempatan kini semakin pesat membangun dan semakin banyak produksi baru tumbuh dan ini perkembangan positif buat industri.

Malah pelakon "Sifu & Tongga" ini juga berkata dia sering menerima tawaran berlakon dari pembikin filem bukan Melayu, contohnya ketika dia ditawarkan berlakon dalam filem Mandarin berjudul "Wedding Game" pada tahun 2007.

Sementara itu, Saiful menyuarakan hasratnya untuk merancang membuat 'reunion' dengan kumpulan lamanya, Senario, namun mengakui sukar untuk mengumpulkan semua ahli berikutan masing-masing mempunyai komitmen lain.

Saiful bagaimanapun berkata mereka berkemungkinan besar akan kembali bersatu dalam satu 'showcase' atau akan mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia menerusi projek khas "Senario Reunion 20 Tahun".

Kumpulan Senario telah lahir dari program realiti "Sinaran Pasport Kegemilangan" dan sejak itu menyaksikan beberapa ahli keluar dan masuk sejak ia ditubuhkan pada tahun 1996.

Ahli-ahli Senario dahulu dan kini adalah Saiful Apek, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Yassin Yahya, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussein, Ilya Buang dan Hamdan Ramli.

Sepanjang kemunculan Senario, mereka telah mempunyai sitkom mereka sendiri, malah turut muncul dengan 10 buah filem dan lima album.

(Sumber foto: Gossip Malaysia)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: