Buletin
Awie lakon sendiri aksi lagak ngeri dalam "Bikers Kental 2"


Tarikh disiarkan: 1 Mac 2016


Awie teruja dapat kembali beraksi dalam filem sekuel "Bikers Kental 2".

1 Mar – Pelakon Awie akui teruja apabila bakal menjalani penggambaran filem terbarunya "Bikers Kental 2" yang akan memulakan penggambaran pada 16 Mac ini di Thailand.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, kali ini dia akan melakukan sendiri aksi lagak ngeri.

"Sejujurnya, saya memang meminati filem aksi. Jika filem terdahulu kurang babak aksi, kali ini lebih 90 peratus. Ikutkan pihak produksi menyediakan pelakon lagak ngeri membabitkan watak saya, tetapi saya menolaknya."

"Bukan apa, saya mahu melakukannya sendiri. Pada masa sama, saya masih mampu dan lebih puas jika dapat menjayakannya sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelakon berusia 47 tahun itu lagi, mengalami kecederaan ketika melakonkan babak aksi adalah perkara biasa.

Dalam pada itu, Awie berkata "Bikers Kental 2" ini adalah platform untuk memaparkan banyak perkara yang tidak diketahui umum mengenai kelompok peminat motosikal berkuasa besar selain menyuntik mesej yang baik yang mampu dijadikan sebagai teladan.

(Sumber foto: Awie Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser