Buletin
Azura Zainal teruja diberi peluang menerajui "Temuan Takdir"


Tarikh disiarkan: 27 Julai 2016


Azura Zainal harap selepas ini lebih banyak tawaran berlakon akan diterimanya.

27 Jul – Pelakon, pengacara dan penyanyi Azura Zainal teruja apabila diberi peluang untuk menjadi salah seorang peneraju dalam filem pertamanya, "Temuan Takdir" arahan Dhyan Vimal.

Menurut Azura, ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila impiannya selama ini untuk berlakon dalam sebuah filem akhirnya tercapai jua.

"Saya sebelum ini pernah berlakon dalam televisyen, teater, mengacara, peragaan dan banyak lagi, tetapi yang paling saya impikan adalah ke layar perak, dan akhirnya tercapai juga," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Temuan Takdir" di GSC Mid Valley, 26 Julai lalu.

Ditanya mengenai masalah yang dihadapinya sepanjang penggambaran berlangsung, Azura mengakui dia tidak berdepan dengan sebarang masalah, namun terdapat cabaran untuknya menjayakan watak 'cintan' sebagai Ros.

"Secara peribadinya saya seorang yang pemalu dan saya tidak tunjuk sangat perasaan saya kepada orang. Walaupun dari luaran saya tampak seperti seorang wanita yang 'kuat', tetapi saya sebaliknya."

"Namun saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja lain kerana banyak beri tunjuk ajar dan tak lokek untuk berkongsi ilmu-ilmu lakonan, sekaligus membantu saya dalam menjayakan watak tersebut."

Dalam pada itu, bercerita mengenai pengalamannya berlakon di bawah arahan pengarah kali pertama Dhyan Vimal, Azura memuji pengarah tersebut yang disifatkan mempunyai sikap keterbukaan.

Maksud keterbukaan yang dikatanya adalah pengarah memberinya kebebasan dalam menjayakan wataknya.

Sementara itu, Azura berkata dia kini masih mengacara rancangan travelog berjudul "X-Plorasi", dan berharap selepas ini dia akan lebih banyak menerima tawaran berlakon.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)





Ticket Pricing Guide