Cadangan untuk Skim Wajib Tayang untuk animasi tempatan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Cadangan untuk Skim Wajib Tayang untuk animasi tempatan

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Eksekutif Giggle Garage, Zeno Gabing berkata animasi tempatan kini semakin berkembang pesat.

8 Mac - Jika dilihat sehingga ke hari ini, masih ramai orang terutamanya masyarakat tempatan tidak mengetahui bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai banyak studio animasi yang menerbitkan banyak siri animasi bertaraf antarabangsa, malah karya animasi tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara.

Persoalannya, mengapa mereka ini masih tidak dikenali? Atau karya-karya animasi mereka tidak ditayangkan di negara sendiri? Mungkinkah pihak penyiar tempatan bersikap menganaktirikan animasi tempatan dan lebih mengutamakan animasi dari luar negara kerana dikatakan mempunyai nilai komersial yang lebih luas?

Bercakap mengenai perkara itu, Pengarah Eksekutif Giggle Garage Sdn Bhd, Zeno Gabing mengakui animasi tempatan sebelum ini kurang mendapat pendedahan di negara sendiri, bagaimanapun perkara itu dilihat semakin berubah ke arah lebih positif apabila penyiar tempatan mula menjalin kerjasama dengan syarikat animasi tempatan untuk menghasilkan siri animasi untuk tayangan di negara ini. Walaubagaimanapun, menurut Zeno kesedaran terhadap animasi tempatan ini masih lagi kurang dan meminta agar pihak bertanggungjawab seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan pihak kerajaan campur tangan dalam membantu studio animasi tempatan untuk karya memasarkan mereka di sini.

Antara cadangan yang disarankan oleh Zeno adalah mengadaptasi Skim Wajib Tayang seperti yang diperkenalkan FINAS bagi membantu filem tempatan ditayangkan.

"Saya berharap agar pihak bertanggungjawab seperti MDeC, FINAS atau pihak kerajaan memperkenalkan satu skim sebagai contoh Skim Wajib Tayang untuk animasi tempatan."

"Skim ini akan bertindak sama seperti Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan FINAS untuk membantu filem-filem tempatan ditayangkan di pawagam di seluruh negara."

"Namun untuk animasi, saya cadangkan agar siri animasi-animasi tempatan ini diberi slot untuk ditayangkan di stesen-stesen televisyen tempatan," ujarnya.

Tambah Zeno lagi, jika skim ini dapat diperkenalkan, ia secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada animasi-animasi tempatan yang tidak pernah diberi peluang dan ruang untuk ditayangkan di negara ini, serta kepada masyarakat umumnya yang mana Malaysia juga mempunyai animasi-animasi hebat.

Cinema Online, 08 Mac 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan