Buletin
Ebby Yus kurangkan aktiviti seni atas nasihat doktor


Tarikh disiarkan: 4 Ogos 2016


Ebby Yus hanya akan berlakon sekiranya penggambaran dilakukan di dalam studio.

4 Ogos – Pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus memberitahu dia kini terpaksa mengurangkan aktiviti seninya atas nasihat doktor selepas dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama seminggu akibat masalah paru-paru dan jantung.

"Boleh dikatakan saya seorang yang ada penyakit serius dan setiap enam bulan perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Sejak ada masalah paru-paru, saya memang ubah cara hidup dan kawal banyak perkara antaranya kena kurangkan minum air. Ini kerana jika badan saya terlebih air, risikonya sangat tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata dia kini sudah hampir setahun memperlahankan kerjaya seninya dan hanya mengambil tawaran berlakon di dalam studio sahaja.

Dalam pada itu, pelakon "Uncle Usin" yang ditanya mengenai mencari pasangan hidup berkata dia tidak mahu fikir mengenai jodohnya kerana ia adalah ketentuan Ilahi. Malah dia lebih gemar memikirkan soal lain seperti mengusahkan perniagaan restorannya.

Pelakon berusia 51 tahun ini mempunyai perancangan untuk membuka cawangan keempat restoran yang diberi nama Adam Lai di Bangi pula selepas mempunyai cawangan di Shah Alam, Wangsa Melawati dan Seri Gombak.

Sementara itu, Ebby juga kini sibuk dengan program baru berjudul "Lawak Solo" yang mana dia dilantik menjadi tenaga pengajar bersama Nabil Ahmad dan Douglas Lim.

(Sumber foto: HMetro)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: