Buletin
Farid Kamil bakal arah sebuah lagi filem aksi


Tarikh disiarkan: 10 September 2016


Farid Kamil teruja dapat terlibat dengan filem "Tombiruo: Penunggu Rimba".

10 Sep – Pengarah dan pelakon filem terkenal Farid Kamil memberitahu dia bakal kembali duduk di bangku pengarah untuk filem aksi terbarunya.

Farid bagaimanapun berkata dia tidak dapat memberikan jawapan bilakah filem tersebut bakal melakukan penggambaran, berikutan ia masih lagi di peringkat awal menyiapkan skrip.

"Idea untuk menghasilkan skrip filem ini sudah lama tercetus, iaitu ketika saya berusia 29 tahun dan tahun ini baru saya mula menambah bahan-bahan lain untuk menghasilkan sebuah skrip filem," katanya yang ditemui pada sidang media filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" baru-baru ini.

Tambah pengarah "V3: Samseng Jalanan" ini lagi, dia mengambil masa yang lama melakukan banyak rujukan dan kajian untuk menghasilkan skrip tersebut supaya ia menjadi sebuah naskhah yang bagus.

Selain itu, Farid juga memberitahu kekangan masa dan dana juga antara salah satu faktor mengapa filem tersebut dapat direalisasikan.


Barisan pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba" Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda.

Dalam pada itu, bercerita mengenai pembabitannya dalam filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" yang diangkat dari novel popular Ramlee Awang Mursid, Farid nyata teruja apabila ditawarkan untuk terlibat dalam sebuah filem bajet besar ini.

Dalam filem tersebut Farid akan membawa watak sebagai Amiruddin dan menurutnya ia adalah cabaran besar buat dirinya untuk menggalas tanggungjawab itu berikutan pembaca novel sudah mempunyai gambaran masing-masing mengenai watak Amiruddin ini.

"Cabaran untuk saya dalam filem ini adalah bagaimana saya hendak membawa watak Amiruddin ini seperti yang dinyatakan di dalam novel kerana pembaca-pembaca novel ini semuanya sudah mempunyai gambaran tersendiri terhadap watak itu," katanya.

Selain Farid, filem arahan bersama Nasir Jani dan Seth Larney ini turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M.Nasir, Dynas Mokhtar dan ramai lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Farid memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem "Pinjamkan Hatiku" arahan Osman Ali yang menjalani penggambaran di New Zealand.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide