Farid Kamil akui rasa janggal berlakon dengan isteri | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Farid Kamil akui rasa janggal berlakon dengan isteri

Penulis: Ashraf Nasser


Farid suarakan hasrat mahu berlakon filem pula dengan isterinya pada masa hadapan.

23 Jun – Pasangan pelakon popular Farid Kamil dan Diana Danielle sememangnya merupakan antara pelakon hebat tempatan apabila mereka mampu menjayakan apa sahaja watak diberikan atau digandingkan dengan mana-mana pelakon pun.

Tetapi apabila kedua-dua pasangan suami isteri ini digandingkan dalam sebuah telefilem "Sedikit Waktu", Farid mengakui dirinya berasa janggal apabila bergandingan dengan isteri sendiri.

"Sejujurnya saya berasa agak kekok apabila berlakon di samping Diana. Walaupun saya sedar ia hanyalah lakonan semata-mata tetapi saya kurang selesa apabila kami melakonkan watak yang tidak sama dengan kehidupan realiti.

"Pun begitu semuanya berjalan lancar apabila saya kembali mendapatkan rentak dan menjiwai karakter yang diberikan," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon "Abang Lejen" ini juga berkata dia tidak menolak untuk kembali berlakon bersama isterinya pada masa hadapan.

Malah, Farid juga menyuarakan hasrat untuk bergandingan lagi dengan Diana dalam filem dibawah arahan Osman Ali.

Dalam pada itu, walaupun sejak kebelakangan ini ramai di kalangan artis termasuk isterinya mula menceburi bidang perniagaan namun Farid tidak terlintas di fikirannya untuk mengikut jejak langkah itu.

Sebaliknya dia mempunyai perancangan besar iaitu bercita-cita mahu menubuhkan rumah produksi satu hari nanti.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangannya Farid baru sahaja selesai penggambaran filem "J Revolusi" dan bakal terbang ke New Zealand untuk penggambaran filem terbarunya "Pinjamkan Hatiku" arahan Osman Ali.

Cinema Online, 23 Jun 2016

Filem Berkaitan:
Abang Lejen (Malay) (16 Apr 2015)
Dampak (Malay) (19 Sep 2013)
PE3 (Malay) (18 Oct 2012)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan