Buletin
Farid Kamil sokong impian isteri mahu jadi penyanyi


Tarikh disiarkan: 4 Julai 2016


Farid Kamil mahu isterinya bersungguh-sungguh dalam mengejar
impian menjadi seorang penyanyi.

4 Jul – Pelakon dan pengarah, Farid Kamil memberitahu dia menyokong seratus peratus keputusan isterinya yang juga pelakon Diana Danielle dalam mengejar impian menjadi seorang penyanyi.

Menurut pelakon "Anak Jantan" ini, sebagai suami dia mahukan isterinya mencapai cita-cita yang diinginkan dalam kerjaya seninya.

"Sebelum dia buat sebarang keputusan, Diana ada bertanya dengan saya terlebih dahulu dan sebagai suami saya menyokong jika dia ingin bergelar penyanyi."

"Itu adalah cita-citanya, tambahan pula dia memang minat menyanyi jadi kenapa saya perlu menghalang," katanya kepada mStar.

Untuk merealisasikan impian tersebut, pelakon berusia 33 tahun ini berkata dia telah menasihati isterinya supaya membuat persediaan yang cukup agar kemunculannya kelak mampu memberi impak.

Farid pada masa sama mahu Diana fokus dalam bidang nyanyian supaya ia tidak seperti 'melepaskan batuk ditangga' yang mana ia mampu memberi kesan buruk kepada kerjayanya.

Terdahulu, Diana telah menyuarakan hasratnya untuk menjadi penyanyi setelah sekian lama memendam hasrat tersebut.

Mengikut perancangan, Diana bakal meriliskan single pertamanya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Dalam perkembangan lain, Farid memberitahu sepanjang bulan Ramadan ini dia sibuk dengan penggambaran dan hanya akan bercuti sekejap sahaja untuk menyambut Syawal sebelum masuk semula ke set untuk penggambaran filem "Pinjamkan Hati".

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Anak Jantan (Melayu) (30 Oktober 2014)
Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (Melayu) (11 September 2014)
Dampak (Melayu) (19 September 2013)