Buletin
Farid Kamil lakukan sendiri babak aksi dalam "Tombiruo"


Tarikh disiarkan: 20 September 2016


Farid Kamil menyatakan filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" adalah filem paling
hebat pernah dibintanginya.

20 Sep – Pelakon Farid Kamil mengakui dirinya teruja apabila terlibat dengan penggambaran filem terbarunya, "Tombiruo: Penunggu Rimba", yang diangkat dari novel terkenal Ramlee Awang Murshid dengan judul sama.

Filem bajet besar terbitan Astro Shaw, Ideate Media dan Grup Buku Karangkraf ini mendapat sentuhan dua pengarah iaitu Nasir Jani; kembali duduk di bangku pengarah selepas hampir 30 tahun menyepikan diri dan Seth Larney; seorang pengarah yang pernah terlibat dengan beberapa filem terkenal Hollywood.

Menurut Farid, ia merupakan satu pengalaman baru buat dirinya apabila bekerja dengan produksi yang menerapkan cara kerja 'ala Hollywood' yang mana mereka tidak bekerja lebih 12 jam dan tidak terburu-buru untuk menghabiskan setiap babak.

"Dengan cara kerja ini, ia membuatkan saya dapat memberi fokus dan komitmen yang lebih baik untuk menjayakan setiap babak yang membabitkan saya terutamanya babak aksi."

"Boleh saya katakan hampir keseluruhan babak aksi berat dalam filem ini saya akan buat sendiri tanpa menggunakan 'stunt double'," katanya yang ditemui di set penggambaran "Tombiruo: Penunggu Rimba" di sekitar Hulu Langat, Selangor.


Farid Kamil melihat semula 'playback' babak aksi yang dilakonkan.

Ditanya samada dia ada rasa gusar atau bimbang sekiranya wataknya sebagai Amiruddin tidak menepati gambaran seperti di dalam novel, Farid berkata dia tidak langsung berasa bimbang kerana menjelaskan setiap pembaca akan mempunyai gambaran mereka tersendiri.

Oleh itu, sebagai seorang pelakon apa yang perlu dilakukan adalah 'neutralise' watak tersebut supaya penonton dapat menerima watak Amiruddin.

Dalam pada itu, Farid berkata sepanjang penggambaran filem dia tidak berdepan sebarang masalah atau cabaran dan semuanya berjalan dengan lancer, kecuali dia mengalami kecederaan di tangan ketika penggambaran sedang berlangsung.

"Ketika penggambaran saya tidak ada sebarang masalah, cuma ketika sedang menjayakan babak bertarung saya terlalu fokus sehingga tidak perasaan kamera berada dekat dengan saya lalu saya tertumbuk kamera. Bagaimanapun ia bukanlah kecederaan serius."

Selain Farid, filem "Tombiruo" Penunggu Rimba" ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Nabila Huda, Dato' M. Nasir, Dynas Mokhtar, Faye Kushairi dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: