Buletin
Fattah Amin sibuk dengan penggambaran di bulan Ramadan


Tarikh disiarkan: 21 Jun 2016


Fattah Amin bersyukur rezekinya semakin murah.

21 Jun – Selalunya apabila tiba bulan Ramadan, pastinya ramai artis-artis akan mengambil pendekatan untuk mengurangkan aktiviti seni terutamanya lakonan, dan berehat sebelum kembali aktif selepas sambutan Aidilfitri.

Berbeza dengan pelakon Fattah Amin pula apabila bulan Ramadan tahun ini menyaksikan dirinya sibuk di lokasi drama dan filem terbarunya.

Walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga ketika penggambaran, namun pelakon yang popular menerusi drama "Playboy Itu Suamiku" itu tidak merungut, sebaliknya menganggap ia sebagai perkara positif buat dirinya.

"Ramadan tahun inilah saya paling sibuk di lokasi penggambaran sama ada drama dan filem. Mujur kedua-duanya di bawah satu label produksi, Skop Productions."

"Sekarang ini pun saya sedang menjalani penggambaran filem pertama saya iaitu "KL Special Force", manakala drama "Gerak Khas" saya diberi rehat selama dua bulan untuk meneruskan dengan komitmen filem," katanya kepada Media Hiburan.

Dalam pada itu, pelakon berusia 26 tahun itu berkata sememangnya mencabar apabila terpaksa berlakon ketika di bulan Ramadan tetapi dia tidak akan mensia-siakan rezeki yang diberi Allah kerana inilah pengorbanannya dalam mencari rezeki.

Sementara itu, bercerita mengenai rutinnya ketika bulan puasa Fattah tahun ini, dia masih lagi belum berkesempatan untuk pergi ke bazar untuk membeli juadah berbuka dek kesibukan kerjanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila dapat berbuka puasa bersama keluarganya pada hari pertama puasa.

(Sumber foto: Fattah Amin Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide