Netizen tak puas hati dengan pencalonan FFM 28 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Netizen tak puas hati dengan pencalonan FFM 28

Penulis: Ashraf Nasser


Ramai yang mengecam tindakan mewujudkan kategori
Bukan Bahasa Malaysia sebagai tindakan rasis.

4 Ogos – Senarai penuh pencalonan akhir untuk Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) telah pun diumumkan dan telah mencetuskan kontroversi apabila dua buah filem yang mendapat ulasan terbaik "OlaBola" dan "Jagat" tidak tercalon dalam kategori Filem Terbaik FFM 28 sebaliknya mewujudkan kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Tindakan pihak FFM yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) telah dikecam oleh Persatuan Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS) yang menyifatkan tindakan FFM 28 sebagai rasis.

"Mengapakah FINAS dan PFM mewujudkan kategori yang rasis seperti Filem Bukan Bahasa Melayu.

"Di manakah FINAS dan PFM dalam memupuk semangat perpaduan dalam Sinema Malaysia? Di manakah konsep 1Malaysia yang disarankan oleh kerajaan? Ini Festival Filem Malaysia bukan Festival Filem Melayu," tulis Alfie Penulis di laman sosial Facebook miliknya.

Alfie dalam kenyataannya juga mempersoal pencalonan filem "Suamiku Encik Perfect 10" dan "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" dalam kategori Lakon Layar Terbaik sekaligus membuktikan Festival Filem Malaysia masih berada di takuk lama.

Tambahnya lagi, PENULIS melihat pencalonan FFM kali ini sebagai memalukan negara tahun demi tahun dan menggesa agar rombakan semula mekanisme pencalonan serta penapisan pemilihan pencalonan.

Kenyataan tersebut turut dikongsi oleh aktres Ida Nerina di laman Facebook yang turut menyuarakan perkara sama mengenai isu tersebut.

 


Komen netizen di laman sosial Facebook yang nyata tidak berpuas hati dengan
pencalonan akhir tahun ini.

Sementara itu, ramai netizen yang turut menyuarakan ketidak puasan hati mereka terhadap senarai akhir FFM 28 kali ini yang dilihat tidak relevan dan berat sebelah.

Malah ada juga netizen yang mengatakan pencalonan tahun ini diambil kira berdasarkan populariti dan bukannya kualiti.

Sehingga kini pihak FINAS atau PFM masih lagi belum membuat sebarang kenyataan rasmi bagi mengulas mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan lagi.

Cinema Online, 04 Ogos 2016

Filem Berkaitan:
Ola Bola (English / Malay / Mandarin / Tamil) (28 Jan 2016)
Jagat (Tamil) (17 Dec 2015)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan