Buletin
Filem "Pekak" bukan sebuah filem klise


Tarikh disiarkan: 11 Ogos 2016


Penerbit, barisan pelakon, komposer dan penyanyi untuk filem "Pekak"

. 11 Ogos – Setelah filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures, "Pekak", mencipta sejarah apabila ditayangkan di Marche du Film 2016 dan di World Premieres Film Festival Filipina tahun lalu, akhirnya naskhah ini bakal menemui penonton pada 1 September ini.

Naskhah arahan sulung Mohd Khairul Azri menampilkan barisan pelakon mantap seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi, Iedil Putra dan ramai lagi.

Menurut penerbit eksekutifnya Tengku Iesta Tengku Alaudin, dia berkata naskhah terbaru terbitan mereka adalah sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang tidak klise.

"Walaupun filem "Pekak" menerapkan genre romantik, namun ia tidak klise seperti filem lain yang mana ia memaparkan kelainan dari segi jalan ceritanya yang unik.

"Selain itu, filem ini juga berani untuk tampil memaparkan tentang permasalahan sosial yang berlaku di kalangan remaja kini," katanya yang ditemui pada pratonton "Pekak" di Pitching Centre Platinum Sentral, KL Sentral semalam.


Zahiril memberitahu dia juga ada belajar bahasa isyarat dengan bapanya yang merupakan
guru sekolah pendidikan khas.

Dalam pada itu, Zahiril Adzim yang memegang watak utama berkata untuk menjiwai watak seorang yang pekak, Uda, dia telah mengasingkan dirinya sepanjang penggambaran filem berlangsung.

Tambahnya, untuk berlakon membawa watak yang tidak menggunakan dialog adalah sangat sukar kerana perlu sentiasa bermain dengan emosi dan ekspresi muka supaya penonton faham dengan yang ingin disampaikan.

"Pekak" mengisahkan tentang seorang pengedar dadah bernama Uda yang cacat pendengaran. Dia menjadi pengedar dadah kerana mahu menampung kos pembedahan bagi memulihkan pendengarannya.

Filem ini akan mula menemui penonton di seluruh negara bermula 1 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)