Buletin
Filem pendek terbitan Pekin Ibrahim "Pagari Bulan" ke Kazakhstan


Tarikh disiarkan: 4 Oktober 2016


Filem pendek yang memaparkan tentang kehidupan orang Bajau Laut.

4 Okt – Selepas kejayaan di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28), pelakon, pengarah dan penerbit filem popular Pekin Ibrahim terus mencipta kejayaan apabila filem pendek "Pagari Bulan" terbitannya telah dipilih untuk mengadakan tayangan perdana bersempena Festival Filem Antarabangsa Eurasia Edisi Ke-12 (Eurasia IFF) di Almaty, Kazakhstan.

"Pagari Bulan" memaparkan tentang isu budaya kaum Bajau Laut yang jarang didengar oleh orang kita sendiri mahu pun pihak luar, dan secara kebetulan pula ia bertepatan dengan moto yang cuba diangkat di dalam festival tersebut, iaitu 'Love as the basis of human life and a path of harmonisation of cultures'," kata Pekin yang dipetik dari mStar.


Pekin Ibrahim terus menghasilkan karya-karya hebat.
Pekin, atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim berkata mereka telah merakamkan kehidupan kaum Bajau Laut atau Sea Gypsies sendiri di kawasan yang mereka duduki, iaitu di Pulau Semporna ketika mereka sedang melakukan penggambaran dokumentari "Madness Of Borneo".

Dalam pada itu, pengarahnya Raja Mukhriz Raja Ahmad berkata filem "Pagari Bulan" itu dihasilkan bagi mewakili Universiti Utara Malaysia untuk bertanding di Asia Youth International Film Festival yang bakal berlangsung dari 5 hingga 7 Oktober depan di Sintok, Kedah, namun tidak menyangka ia mendapat perhatian festival luar negara.

Selain filem terbitan Centro Pictures dengan kerjasama Universiti Utama Malaysia, sebanyak 14 buah filem pendek daripada pelbagai negara lain turut akan bersaing pada Eurasia IFF kali ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: