Buletin
"It's The Moment Yang Arif" inspirasi dari kisah sebenar


Tarikh disiarkan: 18 Februari 2016


Barisan pelakon, pengarah dan tenaga kerja "It's The Moment Yang Arif".

18 Feb – Pengarah filem S.T Bala memberitahu bahawa filem terbaru arahannya, "It's The Moment Yang Arif" mengambil inspirasi dari satu kes sebenar yang berlaku 25 tahun yang lalu.

"Saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini daripada satu kes jenayah yang berlaku di California, Amerika Syarikat selepas membacanya di akhbar 25 tahun lalu.

"Namun untuk jalan cerita keseluruhan filem ini saya olah supaya sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini," katanya yang ditemui pada majlis perlancaran filem "It's The Moment Yang Arif" di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, semalam.

Tambah pengarah "Sambanthan" ini lagi, filemnya akan membuatkan penonton berfikir sejenak atau menimbulkan perasaan tidak puas hati serta keinginan untuk memperbetulkan keadaan.


Pengarah "It's The Moment Yang Arif", S.T Bala.

Dalam pada itu, ditanya mengenai barisan pelakon yang ditampilkan yang kurang popular, pengarah mengakui bahawa pihaknya kekurangan bajet untuk mengambil pelakon-pelakon popular.

S.T Bala bagaimanapun memuji barisan pelakonnya yang memberikan komitmen sangat baik dan dia sangat berpuas hati.

"It's The Moment Yang Arif" yang dibintangi oleh Keena (Mentor) dan Ross Hassan sebagai peneraju, mengisahkan tentang seorang lelaki Daniel, seorang yang berpelajaran dan berpangkat tinggi yang telah melakukan kesilapan besar. Namun dia percaya dirinya tidak bersalah dan bertindak untuk mendapat keadilan. Jinna pula seorang gadis moden yang juga seorang yang berpelajaran dan berjawatan besar yang marah dengan tindakan Daniel dan nekad untuk menuntut bela.

Sementara itu, S.T Bala turut berkata dia mempunyai perancangan untuk menghantar filemnya ke festival-festival filem antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser