Buletin
Pengarah dan penerbit "Jagat" mahu PFM tampil perjelas isu FFM 28


Tarikh disiarkan: 8 Ogos 2016


Penerbit dan pengarah "Jagat" berharap penambahbaikan dalam dilaksanakan dengan segera.

8 Ogos – Penerbit eksekutif dan pengarah filem "Jagat", Sivanantham Perianan dan Shanjhey Kumar Perumal meminta Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk tampil menjelaskan isu pengkelasan kategori dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) yang bakal berlangsung pada 3 September ini.

Pengasingan tiga kategori utama festival tersebut adalah Filem Terbaik FFM28 dan Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia, Pengarah Terbaik FFM28 dan Pengarah Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia, Lakon Layar Terbaik FFM28 dan Lakon Layar Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia.

"Berdasarkan suraf PFM kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bertarikh 14 Julai 2016, adalah jelas bahawa pengkelasan ini dicadangkan oleh pihak PFM."

"Sehubungan itu, kami memohon supaya PFM menjelaskan dan mempamerkan punca kuasa bagi penggunaan 70% Bahasa Melayu yang menjadi rujukan dalam pemilihan dan penjurian filem terbaik Festival Filem Malaysia sebelum ini," ujar mereka.

Tambahnya lagi, berdasarkan penelitian pihaknya, mereka mendapati akta yang berkaitan dengan isu tersebut, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 224) tidak menyentuh tentang penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai hanya satu-satunya medium dalam pembikinan filem.

Malah dalam akta tersebut juga tidak ada definisi memperuntukan apa itu sebenarnya Filem Kebangsaan atau Filem Malaysia.

Mereka bagaimanapun percaya bahawa ada ruang untuk memperbaiki penganjuran festival dengan membuat rombakan menerusi sesi dialog bagi mengambil pandangan pelbagai pihak seandainya peraturan tersebut dibuat oleh jawatankuasa yang menganjur FFM.

Dalam pada itu, Sivanantham dan Shanjhey juga mencadangkan supaya Jawatankuasa FFM membuat penandaarasan dengan pelaksanaan festival filem peringkat nasional negara India yang mempunyai latar belakang masyarakat majmuk yang lebih kompleks berbanding Malaysia.

Disebalik kontroversi yang melanda sejak Khamis lalu, kedua-dua mereka merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada FINAS dan PFM yang telah mencalonkan filem "Jagat" dalam Sembilan kategori.

Pencalonan yang diterima telah menyuntik semangat dan dorongan untuk pihaknya terus bergiat aktif dalam menghasilkan filem, sekaligus melonjakkan industri perfileman tempatan.

Pada masa sama, mereka turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan seperti Alfie Palermo, Afdlin Shauki dan beberapa lagi yang menyuarakan pandangan mereka dan mengambil pendirian untuk memboikot FFM 28.

"Rakan-rakan telah menyuarakan pendirian mereka dalam media massa dan juga mengistiyarkan penarikan diri dari menyertai FFM 28."

"Kami percaya ia adalah di antara strategi yang boleh membawa kepada pembaharuan dalam pengajuran FFM."

Pihak mereka bagaimanapun mengambil pendirian untuk bekerja ke arah sama seperti rakan seperjuangan, namun menerusi strategi yang berbeza.

Sementara itu, mereka berharap rombakan dan penambaikan dalam pengajuran FFM seperti yang dicadangkan pelbagai pihak dapat dilaksanakan dalam masa dekat.

Pihak mereka juga percaya industri perfileman tempatan kini berada situasi penting yang mana penambahbaikan holistik berpandukan objektif tertentu (common objective) perlu dibuat agar kita sentiasa berdaya saing dan terus maju di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Jagat (Tamil) (17 Disember 2015)