Festival Filem Jepun akan ke Johor tahun depan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Festival Filem Jepun akan ke Johor tahun depan

Penulis: Erny Suzira


Pelakon Jepun Kirin Kiki dan CEO GSC Ms. Koh Mei Lee bersama duta-duta JFF.

7 Sep – Dengan pembukaan pawagam baru Golden Screen Cinemas (GSC) di Johor Bahru Paradigm Mall untuk 2017, GSC telah mengumumkan acara tahunan Festival Filem Jepun (JFF) akan dibawa ke selatan tahun hadapan.

Tahun ini GSC telah menambah lokasi baru di Lembah Klang untuk tayangan filem JFF; GSC Nu Sentral, sebagai tambahan selepas GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL dan GSC 1 Utama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GSC Ms. Koh Mei Lee, acara JFF tahun lalu menyaksikan sebanyak 5,600 penonton telah hadir, dan festival tahun ini dijangka sebanyak 10,000 orang akan hadir sebagai mana filem-filem untuk JFF 2016 merupakan filem terbaru berbanding tahun sebelumnya.

Semalam, Festival Filem Jepun ke-13 secara rasminya telah dilancarkan di GSC Pavilion KL dengan menawarkan 13 buah filem, dan juga penampilan istimewa dari Jepun iaitu pelakon lagenda Kirin Kiki.


Kirin Kiki ketika di karpet merah.

Pelakon berusia 73 tahun itu akan muncul dalam dua filem yang akan ditayangkan pada JFF tahun ini – "An" (2015) dan "After the Storm" (2016).

Ketika pembukaan JFF 2016, Kirin menjelaskan mengapa dia masih lagi aktif berlakon filem walaupun usianya semakin meningkat.

"Ramai pelakon di Jepun tidak mahu mengambil watak sebagai nenek walaupun mereka sudah sesuai dengan usia, malah ada yang lebih tua daripada saya. Mereka merasakan diri mereka masih terlalu muda untuk membawa watak berkenaan. Sebab itu saya terus dapat tawaran watak itu," selorohnya.

"Kadang-kala saya juga berasa serba salah untuk menolak tawaran tersebut berikutan saya tidak mempunyai pengurus atau pejabat saya sendiri. Saya bekerja sendiri, malah turut membawa beg saya sendiri."

"Tetapi sekali lagi, segala bayaran yang saya terima akan masuk terus ke poket saya tanpa perlu dipotong," tambahnya.


"After the Storm" dibintangi Kirin Kiki ditayangkan ketika malam pembukaan JFF 2016.

JFF 2016 bakal berlangsung dari 8 hingga 14 September di Lembah Klang, sebelum ke Pulau Pinang dari 15 ke 18 September, dan diikuti Kuching dari 22 ke 25 September dan lokasi terakhir di Kota Kinabalu dari 29 September ke 2 Oktober.

(Sumber Foto: Facebook Golden Screen Cinemas)

Cinema Online, 07 Sept 2016

Filem Berkaitan:
An (JFF) (Jepun) (08 Sept 2016)
After The Storm (JFF) (Jepun) (08 Sept 2016)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan