Josiah Hogan teruja terlibat dengan "KL Vampires" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Josiah Hogan teruja terlibat dengan "KL Vampires"

Penulis: Ashraf Nasser


Josiah mahu berehat dari berlakon seketika selepas selesai penggambaran "KL Vampires".

12 Sep – Pelakon Josiah Hogan mengakui teruja apabila diberi peluang untuk membintangi filem aksi seram "KL Vampires" arahan Devan R, kerana merasakan ia sebuah naskhah yang cukup berbeza dengan filem-filem seram yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Josiah berkata dalam filem fiksyen yang diinspirasikan dari kisah mitos silam Raja Bersiong ini, dia akan membawa watak sebagai tentera kepada seorang ratu pontianak yang dilakonkan oleh Raja Ilya.

Ditanya lanjut mengenai wataknya, pelakon berusia 30 tahun itu memberitahu wataknya memerlukannya banyak terlibat dengan babak-babak aksi.

"Untuk menjayakan babak aksi, saya telah menjalani sesi latihan koreografi selama dua minggu dan ketika penggambaran berjalan jika ada masa kami akan menggunakan masa terluang untuk berlatih lagi untuk memantapkan lagi babak tersebut," ujarnya yang ditemui di set penggambaran "KL Vampires" di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Josiah Hogan dan Pablo Amirul melakukan latihan sebelum masuk ke set penggambaran.

Tambah pelakon "Penanggal" ini lagi, antara cabaran yang terpaksa dihadapinya sepanjang penggambaran adalah untuk mengekalkan momentum ketika menjayakan babak aksi. Ini kerana menurut Josiah, menjayakan babak aksi lebih sukar dari babak berdialog kerana ia menumpukan tumpuan mental dan fizikal.

Dalam pada itu, ditanya samada dialognya dalam filem ini akan menggunakan bahasa baku memandangkan usianya dalam filem beratus tahun, Josiah berkata mereka akan menggunakan bahasa semasa iaitu mengikut peredaran zaman.

Selain Josiah, filem terbitan Applecross Producstion dan Cinemaya Studios Sdn Bhd ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Aeril Zafrel, Reen Rahim, Pablo Amirul, Saiful Apek, Wan Hanafi Su, Donny Alamsyah dan ramai lagi.

Sementara itu, Josiah memberitahu dia bakal muncul dengan filem "KL Special Force" arahan Syafiq Yusof yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Cinema Online, 12 Sept 2016

Filem Berkaitan:
Penanggal (Malay) (28 Nov 2013)
Kastil Tua (Indonesian) (21 Jan 2016)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan