Buletin
Kaka Azraff mahu lupakan episod hitam yang berlaku


Tarikh disiarkan: 31 Mac 2016


Kaka Azraff mahu melupakan episod hitam yang melanda dirinya.

31 Mac – Penyanyi, pelakon dan pengacara Kaka Azraff mahu melupakan episod hitam yang melanda dirinya sebelum ini, sehingga meninggalkan impak besar terhadap dirinya apabila dituduh menjadi perampas kekasih orang.

Bagi mengelak perkara sama berulang, pelakon "Interchange" ini kini lebih berhati-hati dalam memilih rakan.

"Sekarang, saya sangat berhati-hati dalam hal berkawan kerana tidak mahu ia berulang kembali. Bukan serik dan tidak mahu berkawan langsung dengan rakan sealiran, namun lebih baik saya kekalkan hubungan bersama sahabat yang dipercayai saja," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, artis berusia 27 tahun ini juga kini mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dalam bidang nyanyian yang mengutamakan genre hip hop dan R&B.

Tambah Kaka, genre muzik tersebut sangat dekat dengan dirinya, malah dia juga percaya bahawa pendengar tempatan sudah dapat menerima muzik bergenre seperti itu.

Kaka bakal muncul dengan single terbarunya, bagaimanapun, dia masih belum menentukan bila ia akan dilancarkan.

(Sumber foto: Kaka Azraff Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser