Buletin
Kazuto perlihat bakat lakonan dalam "KL Wangan"


Tarikh disiarkan: 28 Oktober 2016


Kazuto sedia kembang kerjaya lakonannya selepas membintangi "KL Wangan".

28 Okt – Pelakon baru Kazuto Soon bakal memperlihatkan bakat lakonannya dalam filem terbaru arahan Pekin Ibrahim "KL Wangan".

"Dalam filem itu, saya diberikan peranan sebagai jurulatih pemandu. Pengalaman saya di dalam arena Wangan yang bermaksud perlumbaan drift malam di Jepun membuatkan Pekin berminat untuk bekerjasama dengan saya.

"Apabila mendapat skrip daripada Pekin, saya dapati jalan cerita filem ini banyak menyentuh pengalaman masa lampau," katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun bakal muncul dengan filem pertamanya, Kazuto sebenarnya sudah terlibat dengan dunia lakonan sejak beberapa tahun lalu berikutan itu dia meletak harapan tinggi terhadap dirinya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran filem itu Kazuto mengakui berdepan kesukaran dalam melontarkan dialog.

Bagaimanapun kesukaran itu perlahan-lahan hilang selepas mendapat tunjuk ajar daripada Pekin sendiri.

Sementara itu, selepas filem "KL Wangan" Kazuto mahu terus mengembangkan kerjaya lakonannya dan bersedia untuk menggalas apa sahaja watak.

Menurutnya, sebagai seorang pelakon dia perlu mencabar diri untuk melakonkan pelbagai watak supaya boleh menjadi pelakon serba boleh.

Untuk merealisasikan hasratnya itu dia kini mula menuntut ilmu lakonan daripadan Pekin yang dianggapnya sebagai guru lakonan.

(Sumber foto: topsy.fr)

Penulis: Ashraf Nasser