Buletin
Kereta filem "Fast & Furious" bakal muncul dalam "KL Wangan"?


Tarikh disiarkan: 24 Ogos 2016


Pekin Ibrahim berbangga apabila sebuah syarikat bertaraf
antarabangsa sudi menaja filem terbarunya.

24 Ogos – Jika sebelum ini pengarah filem muda, Pekin Ibrahim tampil dengan filem berkisarkan tentang mat motor, namun kini dia tampil dengan kisah berkaitan lumba kereta pula berjudul "KL Wangan".

Lebih menarik lagi, Pekin memberitahu bahawa kemungkinan beberapa buah kereta yang pernah muncul dalam filem francais terkenal Hollywood "Fast & Furious" akan digunakan dalam filemnya.

"Insya-Allah mungkin beberapa kereta yang pernah ada dalam filem "Fast & Furious" turut digunakan dalam filem ini," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama pengarah filem "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" ini turut meluahkan rasa bersyukur dan teruja apabila mendapat tajaan daripada syarikat permotoran antarabangsa Volkswagen.

"Orang melihat seperti saya boleh mendapatkan apa saja yang saya mahu. Hakikatnya saya bekerja keras bersama pasukan dan turun naik berjumpa pihak penaja," jelasnya.

Antara kereta Volkswagen yang bakal muncul dalam filemnya adalah model Golf R, Golf GTI, Beetle dan Passat B8.

Tambah Pekin lagi, bukan mudah untuk mendapat kepercayaan daripada pihak Volkswagen dan apabila mendapat persetujuan ia adalah satu penghormatan buatnya.

Dalam pada itu, Pekin bertekad untuk memastikan filem terbarunya ini setaraf dengan filem antarabangsa kerana dia mempunyai perancangan untuk memasarkannya ke luar negara.

Filem yang menelan belanja RM5 juta ini akan dibintangi oleh Faizal Hussein, Kazuto Soon, Jasmine Suraya, Emily Lim dan Pekin sendiri.

(Sumber foto: Layan JerDotNet)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: