Buletin
"Mat Moto" terus cemerlang kutip RM3 juta dalam tempoh 4 hari


Tarikh disiarkan: 19 Januari 2016


Pekin Ibrahim akan mula beri tumpuan hasilkan filem kedua jika berjaya kutip RM5 juta.

19 Jan – Nampaknya filem "Mat Moto" arahan bersama Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof terus mencipta kejutan dalam industri perfileman tempatan apabila berjaya mengutip RM3 juta selepas empat hari tayangan filem tersebut.

Fenomena itu nyata mengejutkan Pekin yang berkata dapat menghasilkan filem yang dekat dengan dirinya adalah satu kepuasan ditambah dengan sokongan oleh peminat.

"Alhamdulillah saya terkejut dan tidak menyangka kutipan melebihi jangkaan. Sangka saya pada hari pertama mungkin kutipan sekitar RM500 ribu, tetapi apabila dimaklumkan penerbit Datuk Yusof Haslam kutipan melebihi RM1 juta saya terkejut dan bersyukur atas sambutan ini," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Pekin yang juga merupakan pelakon utama filem itu berkata keuntungan bukanlah sesuatu yang diharap-harapkan, sebaliknya mahu penonton menghayati kisah dan perjalanan hidup mat motor yang sering dilabel mat rempit sehingga disalah tafsir.

Dalam pada itu, Pekin berkata dia tidak meletakkan sasaran kutipan tinggi, sebaliknya cukup sekadar RM5 juta, dan jika sasarannya itu berjaya diraih dia akan mula merancang untuk menghasilkan filem "Mat Moto 2" pula.

Selain Pekin, fIlem yang mula ditayangkan sejak 14 Januari ini turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Shaheizy Sam, Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Falisha Crossley dan Cat Farish.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: