Buletin
MBO Cinemas bakal lancar 5 pawagam baru pada tahun 2017!


Tarikh disiarkan: 30 November 2016


Tahun yang sibuk buat MBO Cinemas apabila mereka bukan sahaja bakal lancar
5 buah pawagam,malah turut akan menaik taraf pawagam sedia ada.

30 Nov – Tahun 2017 akan menyaksikan MBO Cinemas bakal melebarkan lagi sayap mereka dengan pembukaan lima rangkaian pawagam mereka di Semenanjung Malaysia.

Pembukaan pawagam baru itu diberitahu oleh Pengarah Operasi MBO Cinemas, Mariam Yazmin El-Bacha ketika ditemui di majlis pelancaran MBO KSL City, Johor Bahru, Jumaat lalu.

"Tahun hadapan, MBO Cinemas akan terus melebarkan perniagaan kami dengan pembukaan lima lagi pawagam di Semenanjung."

"Selain itu, kami juga akan menaik taraf beberapa pawagam sedia ada dengan memberikan rekaan terbaru dan moden seperti di MBO KSL City, JB," katanya.

Antara lima lokasi terbaru itu ialah Starling Damansara Uptown (Mac 2017), Elements Melaka Hatten (Mac 2017), East Coast Kuantan (Jun 2017), Atria Mall, Damansara (Oktober 2017) dan Aeon Farlim Ipoh (November 2017).

Tambah Mariam lagi, pawagam di Starling Damansara Uptown juga akan memperkenalkan panggung untuk kanak-kanak.

Pada masa sama, pawagam-pawagam terbaru tahun hadapan juga akan mempunyai kafe, iaitu Cafecito dan juga taman permainan untuk kanak-kanak.

Jelasnya, MBO Cinemas mahu menjadi sebuah tempat hiburan untuk seisi keluarga dan juga mesra untuk pengunjung kurang upaya (OKU) supaya mereka mendapat pengalaman sinema yang terbaik.

Dalam pada itu, pawagam sedia ada seperti MBO Setapak Sentral dan MBO Subang Parade juga akan diberi nafas baru dan dijangka akan siap sebelum perayaan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan.

Selain itu, pihaknya juga dalam perancangan untuk menaik taraf projektor dan sistem bunyi secara berperingkat.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide