Buletin
Mohd Noor pulangkan trofi FFM yang dimenangi dalam plastik sampah


Tarikh disiarkan: 9 Ogos 2016


Mohd Noor memulangkan dua trofi FFM yang dimenanginya pada tahun 2009 dan 2011
pada KP FINAS, Datuk Kamil Othman.

9 Ogos – Pengarah fotografi Mohd Noor Kassim yang pernah memenangi dua trofi bagi kategori Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebelum ini, telah mengambil keputusan memulangkan semula trofi tersebut.

Mohd Noor yang memenangi trofi tersebut menerusi filem "Setem" dan "Hikayat Merong Mahawangsa" ini berbuat demikian bagi membantah pengasingan filem terbaik kepada Bahasa Malaysia dan Bukan Dalam Bahasa Malaysia untuk FFM 28.

Selain memulangkan trofi yang dimasukkan dalam plastik sampah, Mohd Noor turut menarik diri daripada pencalonan yang diterima untuk FFM 28 yang bakal berlangsung pada 3 September ini.

"Saya masih lagi tidak puas hati kerana kita orang Malaysia. Mengapa mahu pengasingan?"

"Saya orang Melayu tetapi nampaknya orang Melayu takut bersaing dengan bangsa lain. Saya malu sebagai orang melayu." Katanya di sesi #tanyaFINAS yang berlangsung semalam.

Tambahnya lagi, tidak perlu membezakan Cina dan India kerana dalam filem bahasa yang penting adalah bahasa filem itu sendiri.

Mohd Noor telah memberikan trofi yang dimenanginya itu kepada Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman selepas selesai sesi #tanyaFINAS di Platinum Sentral, Kuala Lumpur semalam.

FINAS dan PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia) menerusi Datuk Kamil, Presiden PFM Datuk Yusof Haslam dan Ketua Pegawai Eksekutifnya N. Pansha telah menjelaskan kepentingan Bahasa Malaysia untuk filem kebangsaan namun penjelasan itu tidak dipersetujui oleh Mohd Noor.

Sementara itu, Mohd Noor lantang mengkritik dengan berkata pencalonan tahun ini adalah mengarut dan mainan politik, selain berkata negara semakin maju tetapi pemikiran masih ke belakang.


Video Mohd Noor Kassim memulangkan trofi FFM kepada Datuk Kamil Othman. (Sumber: KOMFIT Facebook)

(Sumber foto: YouTube Hasbullah Awang Chik)

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.




Ticket Pricing Guide