Buletin
"Munafik" karya paling ekstrim Syamsul pernah hasilkan


Tarikh disiarkan: 1 Februari 2016


Syamsul Yusof jelaskan filem terbarunya ini dua kali ganda lebih seram dari filem "Khurafat".

1 Feb – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof menasihati agar penonton yang mempunyai masalah sakit jantung atau wanita hamil tidak menonton filem seram terbarunya berjudul "Munafik" kerana ia merupakan filem paling ekstrim pernah dihasilkannya.

"Ketika membuat filem ini, saya meletakkan sasaran untuk menghasilkan naskhah dengan elemen seram yang tinggi, selain mahu menjadikan "Munafik" sebagai judul daripada genre seram yang akan diingati dalam industri filem tanah air.

"Jujur saya katakan, "Munafik" memiliki babak seram yang ekstrim apabila ia banyak memaparkan aksi mengejutkan ditambah pula dengan sistem bunyi berkualiti," katanya kepada BH Online.

Tambah Syamsul lagi, babak dalam filem seram terbarunya ini dua kali ganda lebih seram berbanding filem seramnya terdahulu "Khurafat".


Poster "Munafik" yang menunjukkan amaran kepada pesakit jantung & wanita hamil.

Oleh kerana elemen seperti itu, pengarah berusia 31 tahun itu bimbang ia boleh memudaratkan penonton terutamanya yang mengidap sakit jantung dan wanita hamil.

Dalam pada itu, pengarah "KL Gangster" ini berkata pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) terpaksa merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa babak terpaksa diubah kerana bimbang menyentuh sensitiviti agama.

Pada masa sama, Syamsul memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menampilkan babak-babak seperti itu, malah dia banyak mendapatkan pandangan daripada alim ulama, selain jelas terkandung di dalam hadis dan kitab suci.

Selain Syamsul mengarah dan membintangi filem ini, ia turut dibarisi pelakon lain seperti Nabila Huda, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim dan Fizz Fairuz.

"Munafik" akan menemui penonton bermula 25 Februari ini.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide