Buletin
"Munafik" sebuah karya penuh dengan perisian keagamaan


Tarikh disiarkan: 19 Februari 2016


Barisan pelakon "Munafik", Pekin Ibrahim, Syamsul Yusof, Nabila Huda, Sabrina Ali, Fizz Fairuz dan A Galak.

19 Feb – Bakat yang ada pada pengarah Syamsul Yusof tidak dapat dipertikaikan lagi apabila filem-filem arahannya sentiasa mendapat sambutan. Terbaru, Syamsul tampil dengan sebuah filem seram berjudul "Munafik".

Menurut Syamsul, ini merupakan filem seram keduanya selepas "Khurafat" yang mana dia berkata filem terbarunya ini berbeza dari filem terdahulu kerana jalan cerita yang ditampilkan dalam "Munafik" lebih berat.

"Filem ini sebenarnya betul-betul peribadi buat saya kerana apa yang ada dalam hati saya telah terjemahkan ke dalam skrip dan visualkannya," katanya yang ditemui ketika di majlis pratonton filem "Munafik" di GSC One Utama, semalam.


Pengarah dan pelakon utama "Munafik", Syamsul Yusof bersama isterinya..

Caption: Tambah pengarah berusia 31 tahun ini lagi, dia juga tidak meletakkan sasaran tinggi atau harapan filem ini akan mendapat sambutan daripada penonton.

Dalam pada itu, Syamsul yang juga membintangi dalam filem ini sebagai seorang pengamal perubatan Islam, memberitahu dia telah mendapat rujukan dan nasihat daripada ahli ulamak supaya setiap fakta yang dipaparkan tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sementara itu, Syamsul juga memuji barisan pelakonnya terutama Nabila Huda sebagai Maria yang mana lakonanya berjaya memberi impak besar kepada penonton.

Selain Syamsul dan Nabila Huda, "Munafik" turut dibarisi pelakon lain seperti Fizz Fairuz, A Galak, Pekin Ibrahim dan Datuk Rahim Razali.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 25 Februari ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
Khurafat - Perjanjian Syaitan (Melayu) (13 Januari 2011)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)