"Munafik" terus cemerlang kutip RM11 juta selepas dua minggu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Munafik" terus cemerlang kutip RM11 juta selepas dua minggu

Penulis: Ashraf Nasser


Penampilan semula Syamsul Yusof sebagai pengarah membuahkan hasil.

11 Mac – Nampaknya filem seram terbaru arahan Syamsul Yusof terus mendapat sambutan daripada penonton apabila berjaya mengutip RM11 juta selepas dua minggu tayangannya.

Menurut penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, walaupun filem arahan anaknya itu berdepan saingan sukar dari filem tempatan dan luar negara, namun ia berjaya menarik penonton kerana mempunyai kekuatan tersendiri.

"Lazimnya, filem yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang berdepan kemungkinan jumlah pawagam dikurangkan selepas dua minggu tayangan."

"Pihak pawagam berhak berbuat begitu bagi memberi laluan kepada filem baru. Namun, ia tidak berlaku kepada "Munafik" yang dilihat mempunyai potensi besar untuk bertahan lebih lama," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Yusof Haslam turut memberitahu bahawa pihaknya menerima banyak maklum balas positif mengenai filem "Munafik" selain mula menerima kelompok penonton baru yang terdiri daripada kalangan alim ulama.

"Munafik" mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima hakikat selepas isterinya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Dia kemudian telah bersetuju untuk mengubati seorang wanita bernama Maria yang diganggu syaitan, tetapi dia pula yang terpaksa melalui pelbagai pengalaman pelik.

Filem ini dibintangi oleh Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, A Galak, Datuk Rahim Razali dan Syamsul sendiri

Cinema Online, 11 Mac 2016

Filem Berkaitan:
Munafik (Malay) (25 Feb 2016)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan