Buletin
Nabila Huda tak fikir panjang bila ditawarkan berlakon "Munafik"


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2016


Nabila Huda akui mencabar bagi jayakan watak sebagai Maria.

21 Feb – Pelakon Nabila Huda memberitahu apabila pengarah Syamsul Yusof menawarkan watak dalam filem seram "Munafik" dia terus menerimanya tanpa berfikir panjang.

Ini kerana menurut Nabila sebelum ini mereka pernah berkerja sama dalam filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" beberapa tahun lalu, oleh itu apabila mendapat peluang untuk kembali berlakon di bawah arahan Syamsul dia tidak menolak tawaran itu.

"Ketika Syamsul datang berjumpa saya dia beritahu yang dia mahu saya berlakon dalam filem "Munafik" kerana dia ada watak menarik untuk diberikan kepada saya.

"Selepas saya bersetuju, kami berbincang mengenai bagaimana mahu membawa Maria ini kerana watak itu berat yang mana hidup Maria tertekan dan tidak aman apabila sentiasa diganggu jin dan syaitan," ujar Nabila ketika di majlis pratonton filem "Munafik" di GSC One Utama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bercerita mengenai cabaran yang terpaksa dihadapinya ketika penggambaran, Nabila berkata babak berlakon dalam peti mayat. Menurut pelakon berusia 31 tahun itu berkata walaupun berasa seram apabila dikelilingi oleh mayat sebenar, namun sebagai seorang pelakon dia perlu bersikap profesional dan memberi yang terbaik dalam lakonannya.

Selain Nabila, "Munafik" turut dibintangi oleh Syamsul Yusof sendiri, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, A Galak dan Datuk Rahim Razali.

"Munafik" akan mula ditayangkan di seluruh negara bermula 25 Februari 2016.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide