Pawagam tempatan nafi pinggirkan filem Tamil tempatan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pawagam tempatan nafi pinggirkan filem Tamil tempatan

Penulis: Ashraf Nasser


Filem Tamil tempatan, "Ais Kosong".

18 Mac – Pihak pawagam-pawagam tempatan telah tampil menyangkal dakwaan kononnya mereka bersikap pilih kasih atau meminggirkan filem Tamil tempatan.

Dakwaan itu dibuat berikutan filem Tamil "Ais Kosong" yang ditayangkan pada 3 Mac lalu yang dikatakan pada awalnya ditayangkan di 16 pawagam, sebelum dikurangkan kepada sebuah pawagam sahaja.

Menurut rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dalam satu kenyataan kepada Cinema Online, pihak mereka tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih, malah GSC sentiasa memberi sokongan seratus peratus terhadap karya tempatan.

"GSC sentiasa memberi sokongan terhadap filem-filem tempatan. Jika filem itu diterima baik dan mendapat sambutan oleh penonton, GSC pasti akan memanjangkan tempoh tayangan, contohnya filem seperti "Munafik" dan "BoBoiBoy The Movie".

"Malah GSC juga telah memanjangkan tempoh tayangan filem Tamil tempatan "Jagat" selama sembilan minggu, selepas ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan."

Tambah GSC lagi, "Ais Kosong" telah ditayangkan di lima lokasi ketika hari pertama tayangannya, namun setelah hari ketiga sambutan terhadap filem itu, jumlah penontonnya kurang dari 15 peratus di setiap lokasi kecuali di GSC NU Sentral.

"Bagi menyokong filem tempatan, GSC tetap menayangkan "Ais Kosong" untuk seminggu (3-9 Mac) di empat lokasi – GSC IOI Mall, GSC Klang Parade Mall, GSC Ipoh Parade dan GSC Amanjaya Mall."

"GSC Klang Parade terus menayangkan filem itu 5 kali sehari sehingga 9 Mac walaupun GSC boleh mengurangkan bilangan tayangannya di bawah syarat Skim Wajib Tayang. Malah "Ais Kosong" juga ditayangkan pada minggu kedua di GSC NU Sentral (10-16 Mac)."

Dalam pada itu, TGV Cinemas dalam satu kenyataan juga menyuarakan perkara yang sama iaitu ia sentiasa menyokong filem-filem tempatan tanpa meminggirkan mana-mana filem tempatan.

"Pihak TGV juga sama seperti pawagam lain, iaitu patuh menetapkan tempoh dua minggu Skim Wajib Tayang untuk filem tempatan. Namun dalam kes "Ais Kosong", sambutan terhadap filem tersebut adalah di bawah 15 peratus pada tiga hari pertamanya."

TGV berkata, dalam tempoh yang sama mereka juga telah menayangkan sebanyak enam buah filem tempatan yang mana tiga filem berjaya mendapat sambutan dan masih terus ditayangkan pada minggu ketiga atau keempatnya.

Tambah TGV lagi, sebelum ini mereka pernah menayangkan filem Tamil tempatan "Maindhan" untuk tempoh yang lama berikutan mendapat sambutan daripada penonton.

Sementara itu, MBO Cinemas dalam satu kenyataan ringkas turut berkata perkara yang sama dan juga berkata mereka mementingkan kualiti sesebuah filem tanpa mengira 'warna kulit' sesuatu filem itu. Manakala LFS Cinemas pula ketika diminta mengulas berhubung perkara ini gagal dihubungi buat masa ini.

Terdahulu, Free Malaysia Today melaporkan Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan, Vijayan Palaniappan menyuarakan kebimbangan terhadap industri perfileman tempatan yang didakwa 'dianaktirikan' oleh pawagam-pawagam tempatan.

Vijayan berkata jika keadaan itu tidak diubah cepat, pembikin-pembikin filem Tamil tempatan akan 'gulung tikar' berikutan tidak mampu mendapat pulangan modal semula.

Berikutan itu, Vijayan menerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan telah menghantar satu memorandum kepada FINAS untuk campur tangan, sekaligus mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang dilihat semakin parah.

Cinema Online, 18 Mac 2016

Filem Berkaitan:
Ais Kosong (Tamil) (03 Mac 2016)



Anda Mungkin Juga Suka:
Read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan