Buletin
"Pekak" menang 2 anugerah di festival filem Russia


Tarikh disiarkan: 1 September 2016


Naskhah arahan Khairul Azri ini dilabel sebagai sebuah naskhah yang berani.

1 Sep – Filem "Pekak" terus mencipta kejayaan apabila telah berjaya merangkul dua anugerah utama di International Motivational Film Festival – Bridge of Arts 2016 (IMF) di Russia baru-baru ini.

Dua anugerah tersebut adalah untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan Zahiril Adzim, dan Skrip Terbaik menerusi Mohd Khairul Azri Md Noor yang juga merupakan pengarah filem "Pekak".

Festival filem tersebut telah berlangsung di Restv-on-Don, Russia pada 24 hingga 28 Ogos lalu.

Sebelum ini, filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures ini pernah ditayangkan di World Premieres Film Festival, Philippines tahun lalu dan di Marche du Film 2016, Cannes, Perancis pada Mei lalu.

Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Uda, seorang cacat pendengaran yang terjebak dengan pengedaran dadah bagi menampung kos pembedahan untuk memulihkan pendengarannya. Pada masa sama, dia bertemu dengan Dara, iaitu seorang pelajar bermasalah yang mahu melarikan diri daripada kongkongan bapanya.

"Pekak" akan menemui penonton bermula hari ini, iaitu 1 September di pawagam seluruh negara.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)





Ticket Pricing Guide