Buletin
Pekin Ibrahim kecewa filemnya diperlekeh dapat pencalonan FFM 28


Tarikh disiarkan: 18 Ogos 2016


Pekin Ibrahim hilang rasa hormat pada pihak yang mempertikai kelayakan filemnya
tercalon di FFM 28.

18 Ogos – Pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim tampil meluahkan rasa kesal dan kecewanya apabila terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan kelayakan naskhah sulungnya, "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" tercalon di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28).

"Buruk sangat ke filem saya sehingga pihak tersebut cuba mempertikaikan kewajarannya bertanding di FFM 28? Mereka ini menonton atau tidak filem saya atau sekadar menilai pada tajuk?"

"Sebenarnya mereka inilah yang mengajar saya jadi seorang 'fighter' dan saya takut perkara ini kelak akan membuatkan saya jadi lebih kurang ajar daripada mereka," katanya kepada mStar.

Tambah penggiat seni berusia 36 tahun itu lagi, dia juga sudah hilang rasa hormat terhadap mereka yang pernah dijadikannya sebagai idola sebelum ini.

Dalam pada itu, Pekin berkata naskhah sulungnya itu sangat dekat dengan dirinya dan ia bukan sebuah filem yang beri pengaruh negatif kepada penonton, sebaliknya menyuntik elemen keagamaan secara tidak langsung.

Pekin bagaimanapun bersyukur apabila naskhahnya berjaya mendapat lapan pencalonan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghargai karyanya.

FFM 28 bakal berlangsung pada 3 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya Pekin memberitahu dia bakal kembali duduk di bangku pengarah pada 20 Ogos ini bagi memulakan penggambaran filem terbarunya berjudul "KL Wangan".

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide