Buletin
Risteena Munim tak kecewa belum menang anugerah


Tarikh disiarkan: 15 Mei 2016


Risteena Munim luah hasrat mahu bergandingan dengan adiknya Ruhainies satu hari nanti.

15 Mei – Pelakon Risteena Munim tidak berasa kecewa apabila sehingga kini dia masih lagi belum menggenggam sebarang trofi anugerah walaupun sudah lebih empat tahun bergelar anak seni.

Terbaru pelakon "Girlfriend Kontrak" ini tewas di tangan pelakon Nur Fathia Latiff dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH 29).

"Saya tidak kecewa sebaliknya bersyukur kerana selepas empat tahun menceburi dunia seni, nama saya sudah dicalonkan dalam kategori filem dan drama.

"Saya masih mempunyai masa panjang untuk membuktikan kemampuan diri," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan kerjaya lakonannya kakak kepada pelakon Ruhainies ini berkata hasratnya untuk bergandingan dengan adiknya tidak tercapai apabila jadual masing-masing bercanggah.

Sementara itu, pelakon berusia 26 tahun itu memberitahu bahawa dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbarunya berjudul "Spylah Sangat" bergandingan dengan Zaid Hamid.

Selain itu, Risteena juga bakal muncul dengan filem terbaru arahan Datuk Prof Madya A. Razak Mohaideen "Anak Mami Nasi Kandaq" yang mana akan turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Saiful Apek dan ramai lagi.

Filem tersebut akan menemui penonton pada musim Hari Raya Aidilfitri nanti.

(Sumber foto: Risteena Munim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: