Buletin
Risteena Munim tak gentar bersaing dengan pelakon baru


Tarikh disiarkan: 18 Julai 2016


Risteena Munim gembira lakonannya dalam "Anak Mami Nasi Kandaq" dapat reaksi positif.

18 Jul – Pelakon Risteena Munim tidak gentar dengan persaingan daripada pelakon-pelakon baru yang kini membanjiri dunia seni tempatan seperti 'cendawan tumbuh selepas hujan' kerana percaya dengan bakat yang ada pada dirinya.

"Tawaran berlakon tidak pernah putus dan ramai pengarah masih mempercayai bakat lakonan saya."

"Lagipun, saya percaya dengan rezeki dan sebagai pelakon saya kenalah berikan yang terbaik setiap kali beraksi depan kamera," katanya kepada Harian Metro.

Kakak kepada pelakon baru Ruhainies berkata demikian apabila dia kini dilihat sering muncul di kaca televisyen dan di layar perak.

Terbaru, Risteena atau nama sebenarnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas bakal terlibat dengan penggambaran drama "Spy Lah Sangat".

Malah pada 6 Julai lalu, pelakon berusia 27 tahun ini muncul dengan filem terbarunya berjudul "Anak Mami Nasi Kandaq".

Bercerita mengenai filemnya itu, Risteena berasa gembira apabila filem arahan Dato' Professor A Razak Mohaideen itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

Apa yang membuatkan dirinya lebih teruja, ialah apabila tiada lagi kritikan dilemparkan kepada lakonannya dan ini memperlihatkan kualiti lakonannya semakin meningkat.

Bagaimanapun dia enggan mendabik dada, sebaliknya akan terus berusaha dan sentiasa memberi yang lebih baik pada masa depan.

Selain Risteena, filem yang berkisarkan tentang keluarga di Pulau Pinang ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Qi Razali, Fasha Sandha, Elisya Sandha, Amylia Nastasha, Maria Farida, Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo dan Ezzaty Abdullah.

(Sumber foto: Risteena Munim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide