Mamat Khalid: Filem "Rock Bro" lebih bersifat peribadi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Mamat Khalid: Filem "Rock Bro" lebih bersifat peribadi

Penulis: Ashraf Nasser


Mamat Khalid bersama barisan pelakon dan penerbit "Rock Bro".

20 Okt – Pengarah siri filem "Rock" Mamat Khalid berkata naskhah terbarunya "Rock Bro" merupakan filem terakhir dan tidak akan menyambung lagi siri filem ini selepas ini.

"Naskhah terbaru saya ini lebih bersifat peribadi dan merupakan yang terakhir untuk trilogi "Rock" dan tidak mungkin saya akan menghasilkan kesinambungan lagi. Cukuplah dengan hanya tiga filem "Rock"," katanya ketika di majlis pratonton filem "Rock Bro" di mmCineplex ECurve, semalam.

Menurut Mamat, apa yang dimaksudkan dengan filem lebih 'bersifat peribadi' adalah ia bukan memaparkan tentang kumpulan Rimba Bara sahaja tetapi ia memaparkan kesukaran zaman rock Malaysia sekitar awal tahun 1990.


Mamat Khalid berharap filem "Rock Bro" akan dapat sambutan hangat seperti filem sebelumnya.


Selain itu, penceritaan kali ini terarah kepada sudut pandangan ketua kumpulan rock Rimba Bara iaitu Jijo mengenai kisah hidup mereka sehingga mereka menjadi terkenal.

Malah dalam filem terbaru ini akan turut memaparkan sepanjang penglibatan mereka di dalam kumpulan Rimba Bara, pelbagai rintangan harus mereka lalui ditambah dengan kemelut politik dan perubahan landskap yang sedang melanda industri muzik pada ketika itu.


Barisan pelakon "Rock Bro" (Kiri-Kanan) Azmi Bahron, Pekin Ibrahim,
Amy Juliet, Khir Rahman dan Soffi Jikan.


Dalam pada itu, Mamat berkata dalam filem "Rock Bro" ini beliau menampilkan ramai 'otai' rock tanah air sebagai penampilan istimewa seperti Datuk Hattan, Datuk Ramli Sarip, Man Kidal dan Black Wings.

Filem terbitan Grand Brilliance dan Enjut Semut ini dibintangi oleh beberapa pelakon asal dan baru termasuk Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Azmi Bahron, Sofi Jikan, Kamarool Haji Yusof, Amy Juliet dan ramai lagi.

"Rock Bro" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 27 Oktober ini.

Cinema Online, 20 Okt 2016

Filem Berkaitan:
Rock Bro!: Kembali Ke Pangkal Jalan (Malay) (27 Oct 2016)
ROCK (Malay) (08 Dec 2005)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Malay) (28 Feb 2013)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan