Buletin
Rosyam Nor bakal bintangi filem seram terbitan produksi di India


Tarikh disiarkan: 3 Ogos 2016


Datuk Rosyam Nor mengakui beliau kini mula mempunyai peminat dari kalangan kaum India.

3 Ogos – Pelakon tersohor tanah air, Datuk Rosyam Nor bakal membintangi sebuah lagi filem terbitan produksi dari India berjudul, "House Next Door", yang mana beliau akan membawa watak antagonis.

"Watak yang ditawarkan adalah antagonis dan ia merupakan filem seram. Jika tiada kekangan dan jadual saya tidak padat, kemungkinan saya akan mula turun ke lokasi pada bulan September depan," katanya kepada Kosmo!

Rosyam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tawaran berlakon itu berikutan beliau masih lagi belum menandatangani sebarang kontrak.

Tambahnya, ketika ini semuanya bergantung kepada jadualnya kerana beliau sedang sibuk dengan sebuah program realiti, namun sekiranya ada rezeki beliau akan kongsikan kepada semua.

Pelakon berusia 49 tahun itu mengakui rezekinya untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa semakin murah selepas terlibat dengan filem "Kabali" yang dibintangi oleh Rajinikanth.

Malah pemenang dua kali Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ini turut berkata beliau kini mula mendapat peminat baru dari kalangan kaum India dan ini menunjukkan perkembangan positif bukan sahaja buat kerjayanya, tetapi juga untuk industri.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kontroversi yang mana beliau dikritik oleh penonton yang mengatakan kemunculannya hanya sebagai watak tempelan dalam filem "Kabali", Rosyam dalam nada tenang tidak cepat melatah.

Beliau berkata kritikan yang dilemparkan kepadanya menandakan mereka masih sayangkannya berikutan sebelum ini mereka sudah terbiasa melihatnya membawa watak besar dalam banyak filem tempatan.

Jelasnya, beliau ambil keputusan untuk menerima watak kecil dalam filem tersebut kerana mahu menimba pengalaman bekerja dengan produksi luar negara.

(Sumber foto: Media Sensasi)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Kabali (Tamil) (22 Julai 2016)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)
Balistik (Melayu) (9 Januari 2014)





Ticket Pricing Guide