Buletin
Saiful Apek mahu tampil dengan sisi berbeza


Tarikh disiarkan: 24 Jun 2016


Saiful Apek bersyukur mendapat kepercayaan pengarah &
penerbit berinya peluang bawa watak serius.

24 Jun – Nama pelakon, pelawak dan penyanyi Saiful Apek bukanlah nama baru dalam industri seni tempatan kerana dia sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang ini, namun kini dia enggan lagi dilabel sebagai pelakon komedi.

Sebaliknya, Saiful Apek mahu membawa kerjayanya ke tahap lebih tinggi kerana sebagai seorang anak seni dia tidak boleh terikat dengan satu-satu genre sahaja.

"Kalau sebut Saiful Apek, pasti akan terlintas difikiran mereka seorang pelawak. Kalau boleh saya mahu mengubah perkara itu pada pandangan mereka dengan menampilkan lebih sisi matang saya menerusi mana-mana projek khususnya filem, drama atau telefilem selepas ini," katanya kepada Sinar Harian.

Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff bagaimanapun tidak akan menolak tawaran berlakon komedi sekiranya ada.

Tambah pelakon berusia 47 tahun itu lagi, adalah mustahil untuk dirinya terus meninggalkan dunia komedi berikutan komedi adalah jiwanya selain dia mula dikenali kerana komedi.

Pelakon "Sifu & Tongga" ini kini berhasrat untuk membawa watak yang berbeza sekaligus dapat menunjukkan sisi berbezanya kepada penonton.

Apek juga mengakui dirinya kini sudah mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit untuk membawa watak yang lebih serius seperti dalam filem "Werewolf Dari Bangladesh" yang mana dia membawa watak seorang bapa yang tegas dengan anak-anaknya.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya Apek memberitahu bahawa kumpulannya Senario dalam perancangan untuk membuat persembahan di Istana Budaya tahun ini bersempena dengan ulang tahun ke-20 mereka.

Penulis: Ashraf Nasser