Buletin
Sharifah Amani pilih naskhah untuk jaga reputasi


Tarikh disiarkan: 26 Ogos 2016


Sharifah Amani teruja dapat terlibat dengan filem "Pekak".

26 Ogos – Pelakon popular Sharifah Amani memberitahu yang dia kini lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon dan hanya akan menerimanya sekiranya naskhah tersebut dirasakan bagus.

Sharifah berkata demikian kerana mahu menjaga reputasinya sebagai seorang pelakon yang sudah lama berada dalam industri seni.

"Saya sudah berada dalam industri lebih kurang 10 tahun dan saya sudah buat watak-watak yang saya was-was sebelum ini, dan saya tahu ia tidak berbaloi kerana kita tidak boleh menipu penonton, dan sebagai seorang pelakon kita perlu ada integriti," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana "Pekak" di mm2 Cineplex, eCurve, baru-baru ini.

Tambah pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM 19) ini, dia berpendapat tugas seorang pelakon adalah untuk membentuk dan mewarnai industri perfileman dan sekiranya mereka menghasilkan sebuah karya yang tidak bagus atau berkualiti, ia tidak boleh menolong industri berkembang.

Dalam pada itu, bercerita mengenai wataknya dalam filem "Pekak" sebagai Dara, Sharifah berkata dia tertarik untuk berlakon di dalam filem ini kerana ia merupakan sebuah naskhah yang cukup bagus, selain dirinya merupakan seorang peminat hasil kerja pengarah Khairul Azri.

Tambah pelakon berusia 30 tahun itu lagi, dengan barisan pelakon-pelakon hebat yang ditampilkan ia membuatkannya lebih teruja untuk terlibat dengan filem tersebut.

Ditanya mengenai babak 'panas' iaitu babak rogol yang membabitkan dirinya dengan pelakon Amerul Affendi, Sharifah berkata dia tidak merasakan dirinya diekspoitasi, sebaliknya dia berasa selamat kerana semua yang terlibat dalam babak tersebut mementingkan keselamatan dirinya.

"Pekak" arahan Khairul Azri ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan ramai lagi.

Sementara itu, Sharifah berkata bulan Oktober ini dia akan terbang ke Tokyo untuk tayangan perdana filem "Pigeon" di Festival Filem Antarabangsa Tokyo, dan kemudian akan sekali lagi ke sana untuk pementasan teater "Nadira".

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide