Buletin
Sinema baru TSR Cinemax menjanjikan pengalaman terbaik


Tarikh disiarkan: 9 September 2016


TSR Cinemax di Shah Alam.

9 Sep – Industri sinema di Malaysia ternyata semakin berkembang pesat biarpun ekonomi semasa tidak stabil, dengan rata-rata rangkaian sinema terkemuka sudah mempunyai perancangan untuk membuka cawangan-cawangan terbaru.

Mahu juga terbabit dengan industri sinema tempatan, sinema jenama baru, TSR Cinemax di IRDKL Mall, Shah Alam bakal memeriahkan lagi industri sinema tempatan apabila ia bakal melakukan perlancaran awal pada 14 September ini.


Tan Sri Dato' Sri Dr MP Ramasamy punya perancangan tersendiri untuk
membangunkan jenama TSR Cinemax.

Ruang legar di TSR Cinemax.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dato' Sri Dr MP Ramasamy, TSR Cinemax yang terletak di Shah Alam, Selangor ini akan menjanjikan pengalaman sinema yang terbaik di Malaysia.

"Apa yang saya boleh katakan di sini adalah TSR Cinemax adalah sinema terbaik di Malaysia sekarang ini. Ini kerana kami menggunakan teknologi terbaik dari segi visual dan audio."

"Kami menggunakan sistem projektor Barco 19B 4k dan sistem bunyi pula, Dolby Atmos, DTS-MDS, AUROMAX dan DTS 7.1. Oleh itu, saya boleh katakan pengunjung akan merasakan satu pengalaman sinema yang terbaik," ujarnya.


Kaunter tiket yang akan menggunakan teknologi terbaru iaitu tidak menggunakan tiket fizikal.

Tambah Tan Sri Dato' Sri Dr MP Ramasamy lagi, TSR Cinemax mempunyai 8 dewan sinema dengan kapasiti 1,300 tempat duduk dan mempunyai tiga kelas dewan iaitu Royale, Grand dan Premier.

Ditanya mengenai keyakinannya terhadap sambutan daripada orang ramai terhadap TSR Cinemax, beliau yakin sinemanya mampu menjadi daya penarik kepada penduduk sekitar di Shah Alam ditambah dengan ia berdekatan dengan beberapa buah universiti tempatan seperti UiTM, MSU dan beberapa lagi.


Dewan sinema yang dilengkapi dengan kerusi kulit yang sangat selesa.

Kerusi di dewan kelas Royal yang luas.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai keistimewaan TSR Cinemax, beliau berkata di sinemanya pengunjung bukan sahaja dapat menonton filem tetapi juga dapat berhibur.

"Apa yang membezakan TSR Cinemax dengan sinema-sinema sedia ada adalah konsep kami berbeza, iaitu ia merupakan 'Entertainment Mall' dan bukannya 'Shopping Mall'. Selain menonton filem, pengunjung juga boleh berhibur dengan melakukan pelbagai aktviti seperti bermain pool, permainan arked, permainan virtual 9D, kedai makan dan banyak lagi."


Ruang permainan arked turut disediakan untuk hiburan seisi keluarga.

Ramasamy berkata ia adalah sebuah pusat hiburan untuk sekeluarga di bawah satu bumbung.

Disebalik teknologi terbaik dan pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang ditawarkan di TSR Cinemax, pengunjung tidak perlu mengeluarkan kos lebih untuk menikmati keistimewaan tersebut kerana harga tiket yang dikenakan adalah sama seperti di sinema-sinema lain.


Juga terdapat pusat pool yang terletak dalam TSR Cinemax.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi TSR Cinemax di lima lokasi di Malaysia yang akan diumumkan pada masa hadapan.

Tambahnya lagi, selain sinema, pihaknya juga memperluas bidang perniagaan dalam industri filem tempatan dengan menubuhkan sebuah syarikat produksi filem TSR Films yang akan mengedar filem.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.