Buletin
Syafiq Yusof nafi guna pengaruh bapa kosongkan kawasan utama KL


Tarikh disiarkan: 3 November 2016


Syafiq Yusof berkata mereka tidak dapat bantuan daripada mana-mana pihak untuk tutup jalan.

3 Nov – Pengarah filem muda berbakat besar Syafiq Yusof tampil menyangkal dakwaan kononnya dia menggunakan pengaruh bapanya Datuk Yusof Haslam untuk menutup beberapa jalan utama di sekitar Kuala Lumpur untuk melakukan penggambaran filem terbarunya "Desolasi".

Syafiq berkata demikian selepas ramai kagum dan terkejut dengan treler filem terbarunya yang dimuat naik YouTube memaparkan satu babak tanpa seorang manusia mahu pun kenderaan di beberapa kawasan sibuk di ibu kota.

"Ramai yang cakap saya gunakan pengaruh bapa kerana kata mereka bapa saya ada hubungan baik dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) tetapi itu semua tidak benar.

"Kami tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan tidak menutup jalan utama. Apa yang kami lakukan ialah menutup beberapa laluan selama 10 hingga 15 saat saja. Itu pun, ramai yang marah dan tak puas hati," katanya kepada Harian Metro.

Bukan itu sahaja, malah pengarah "Villa Nabila" ini turut menceritakan cabaran yang mereka terpaksa hadapi termasuk dihalau oleh pihak pengurusan bangunan berhampiran tempat penggambaran.

Dalam pada itu, Syafiq berkata bagi menjayakan babak tersebut mereka turut menggunakan teknik kesan khas Imej Janaan Komputer (CGI) bagi memadam semua orang awam yang berada di situ.

Bercerita lanjut mengenai filem terbarunya ini Syafiq berkata memaparkan tentang Aiman seorang pemuda yang sering diuji Allah dan melalui pelbagai masalah dalam kehidupannya. Satu hari Aiman telah berdoa agar semua masalahnya hilang dan keesokan harinya, selepas bangun dari tidur dia mendapati semua manusia sudah lenyap.

Filem terbitan Skop Production ini menampilkan barisan pelakon mantap seperti Syamsul Yusof, Pekin Ibrahim, Bella Dally, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Ia bakal menemui penonton di seluruh negara pada 8 Disember depan.

(Sumber foto: NST)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide