Buletin
Syafiq Yusof sanggup tangguh pembedahan demi siapkan filem


Tarikh disiarkan: 13 Julai 2016


Syafiq Yusof sibuk menyiapkan filem "Desolusi"
yang bakal ditayangkan September depan.

13 Jul – Pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof sanggup mempertaruhkan kesihatannya apabila menangguhkan pembedahan apendiks kerana mahu menyiapkan kerja untuk beberapa buah filemnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapa kepada Syafiq, penerbit Skop Production Datuk Yusof Haslam.

"Syafiq akan dikeluarkan hari ini (semalam) selepas keadaannya bertambah baik. Mungkin juga dia terlalu risaukan kerjanya, termasuk proses akhir suntingan CGI untuk filem "Desolusi" yang akan menemui penonton September depan."

"Pada masa sama dia sedang melakukan pasca produksi untuk filem "KL Special Force"," katanya kepada BH Online.

Yusof berkata sekiranya anaknya menjalani pembedahan, dia memerlukan masa rehat selama kira-kira dua bulan, sekaligus akan menyebabkan banyak kerja tertangguh.

Dalam pada itu, bapa kepada pengarah berusia 23 tahun ini mengakui dia tidak ralat dan bersedia menangguhkan jadual tayangan filem berkenaan kerana risaukan keadaan kesihatan anaknya.

Malah, Yusof telah memberi kata dua kepada Syafiq sekiranya sakitnya datang semula dalam masa terdekat, dia harus melakukan pembedahan dengan kadar segera.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: