Buletin
Syamsul Yusof patah bahu ketika penggambaran filem "Makrifat Cinta"


Tarikh disiarkan: 23 November 2016


Syamsul Yusof terima tawaran berlakon filem romantik kerana merasakan ia boleh menguji
tahap lakonannya.

23 Nov – Pelakon Syamsul Yusof telah mengalami kecederaan patah tulang bahu kiri ketika penggambaran filem terbarunya berjudul "Makrifat Cinta" ketika menjayakan babak aksi letupan.

"Sebenarnya aksi yang saya lakukan itu tidaklah susah dan biasa dilakukan dalam beberapa filem lakonan saya sebelum ini seperti dalam "KL Gangster". Ia babak yang tidak memerlukan pelakon lagak ngeri."

"Ketika kejadian, saya sedang melakonkan aksi melutut di tanah dan di hadapan saya pula pelakon Nora Danish yang sedang terbaring. Ketika berlaku aksi letupan di belakang, impak itu membuatkan badan saya melambung ke hadapan dan saya pula sempat mengelak daripada terjatuh menghempap Nora," katanya kepada BH Online.

Berikutan itu dia tidak sempat menstabilkan badan telah menyebabkan bahunya terjatuh terlebih dahulu.

Dalam pada itu, pelakon berusia 32 tahun itu berkata dia masih mempunyai dua minggu lagi baki penggambaran yang perlu dihabiskan dan sekiranya keadaan bertambah baik, dia akan meneruskan kerja secepat mungkin, jika tidak dia terpaksa mengambil cuti.


Syamsul Yusof ketika berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Ditanya mengapa dia mengambil keputusan untuk berlakon dalam filem terbitan Dhananwood Films Sdn Bhd, Syamsul berkata naskhah bergenre romantik itu dilihat mampu menguji tahap lakonannya.

Berikutan itu, dia tidak mahu melepaskan peluang ditambah dengan barisan pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuk Nabila Huda, Adi Putra dan Puteri Balqis.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai filem "Munafik 2" arahannya, Syamsul terpaksa merombak semula keseluruhan skrip kerana tidak berpuas hati dengan jalan ceritanya.

Ini kerana dia mahu menghasilkan sebuah karya yang lebih kuat dan berkualiti berbanding filem pertama "Munafik" oleh itu dia memerlukan tempoh yang lama.

(Sumber foto: Instagram Syamsul Yusof)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)
KL Gangster (Melayu) (9 Jun 2011)